Laman Utama

Masuk Klasifikasi Tontonan 18 Tahun Ke Atas, Apa Itu Borak Kelamin?

gempak
Maliah Surip
02/03/2021
14:50 MYT
Sponsor Banner
Masuk Klasifikasi Tontonan 18 Tahun Ke Atas, Apa Itu Borak Kelamin?
Astro kembali menyajikan sebuah program yang akan membuat penonton melekat di depan kaca televisyen.
Program baharu yang dihoskan Elly Mazlein dan Awal Ashari tersebut diberi judul Borak Kelamin.
Ia merupakan sebuah program bual bicara terbitan Astro Ria dengan kerjasama Nu Ideaktiv Sdn. Bhd. khusus tentang alam perkahwinan berkaitan isu-isu rumah tangga yang sering dianggap tabu atau sensitif untuk dibincangkan secara terbuka.
Program ini juga diklasifikasikan untuk tayangan 18 tahun ke atas kerana mengandungi aspek kedewasaan yang tidak keterlaluan dalam setiap topik perbincangan.
Untuk musim yang pertama kali diterbitkan ini, Borak Kelamin akan bersiaran sebanyak 10 buah episod.
Tampil dengan pengisian interaktif yang berani dan sensasi, program Borak Kelamin bakal mengetengahkan topik-topik diskusi merangkumi kupasan ilmiah yang kompresensif oleh barisan panel pakar perunding jemputan daripada pelbagai bidang pengkhususan berdasarkan tema mingguan seperti pakar motivasi, perunding psikologi, kaunselor perkahwinan, penceramah, dan sebagainya.
Bagi merancakkan lagi sesi perbincangan pada setiap episod, tetamu jemputan istimewa yang terdiri daripada barisan selebriti popular tanah air turut diundang khas untuk berkongsi pengalaman peribadi sepanjang melayari bahtera perkahwinan bersama pasangan atau bekas pasangan secara terbuka dan profesional.
Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal berkata, isu atau cerita dalam kain dalam sesebuah institusi perkahwinan adalah subjek tabu yang kurang dibicarakan secara terbuka terutamanya di kaca televisyen.
Topik sebegini juga sering dielakkan untuk menjaga aib dan sensitiviti masyarakat.
"Jika kita lihat sejak kebelakangan ini, semakin ramai pasangan suami isteri yang mungkin sedang mengalami konflik dalaman gemar mengadu domba di media sosial. Sekiranya perkongsian tersebut dilihat daripada perspektif positif, mungkin respons yang diterima daripada netizen dapat membantu meredakan tekanan. Jika sebaliknya, ia hanya akan mengeruhkan lagikeadaan tanpa sebarang jalan penyelesaian.
"Sehubungan dengan itu, kami dengan berbesar hati membawakan program Borak Kelamin sebagai platform utama dalam menyalurkan maklumat yang berkaitan dengan lebih luas menerusi sesi perbincangan yang sihat, harmoni dan positif bersama panel jemputan.
"Walaupun topik yang bakal diketengahkan agak panas dan boleh mengundang kontroversi, namun ia tidaklah keterlaluan dan masih sesuai dengan resam masyarakat Malaysia. Kami percaya tahap penerimaan penonton masa kini sudah semakin matang dan tahu menilai mesej di sebalik keseluruhan konteks kandungan yang ingin disampaikan.
"Semoga perkongsian ilmu menerusi program Borak Kelamin dapat dijadikan rujukan serta boleh dimanfaatkan bersama baik oleh pasangan yang sudah berkahwin mahupun yang sedang dalam persediaan menuju ke alam rumah tangga. Selamat menonton," katanya.
Program Borak Kelamin berdurasi selama 60 minit dan bakal bersiaran secara eksklusif pada setiap hari Isnin, jam 9.00 malam mulai 1 Mac 2021 secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan perkhidmatan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024