Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Matthew Perry Pernah Koma, Usus Pecah & Habiskan RM43 Juta Kerana Dadah

Maliah Surip
25/10/2022 13:50 MYT
Salah seorang bintang terkenal dari siri popular Friends, Matthew Perry baru baru ini mendedahkan perjalanan hidup yang penuh liku meski disanjung dan dipuja peminat dari seluruh dunia.

Menerusi banyak laporan media tempatan, Perry mendedahkan dirinya terlibat dengan najis dadah dan kecanduan alkohol yang tidak terkawal pada zaman kemahsyuran terbabit dalam siri tersebut pada tahun 90-an.

Namun perbuatan yang dilakukan ternyata hanya menghancurkan dirinya apabila dia perlu keluar masuk pusat pemulihan dan berdepan mimpi ngeri apabila ususnya pecah akibat terlalu banyak mengambil najis dadah dan alkohol.

Bintang berusia 53 tahun itu mengaku waktu ususnya pecah, dia hanya mempunyai dua peratus untuk hidup sebelum koma selama dua minggu sewaktu berumur 49 tahun, lapor DailyMail.co.uk.

Dalam bertahun tahun mencari jalan keluar dari ketagihan yang dihadapi, Perry juga mendedahkan telah menghabiskan sekitar RM43 juta kerana masalah yang dialami.

Pertarungannya juga mendapat sokongan daripada rakan seperjuangan, terutama Jennifer Aniston yang kerap mengambil berat tentang dirinya.

Semua pendedahan itu disampaikan menerusi buku terbaru, Friends, Lovers and the Big Terrible Thing yang akan dipasarkan bermula 1 November 2022.

“Saya mahu menceritakan kisah buruk ini selepas rasa selamat untuk tidak kembali ke zaman gelap itu lagi.

“Saya harus pastikan diri benar benar sihat dan jauh dari aktiviti tidak sihat yang telah mengambil hampir kehidupan saya sebelum ini.

“Dan paling penting, saya mahu pengalaman ini membantu banyak orang lain,” akuinya seperti dilaporkan People.

Perry mengaku dia kini telah sihat dan bebas dari segala jenis ketagihan yang hampir membuatnya maut selama 18 bulan.

Foto: Page Six, Google

#Hollywood #Dadah #Friends #koma #Usus #Matthew Perry
;