Usahawan Mawar Abdul Karim, 32, akui berasa gembira sekiranya bekas suami, aktor Fizo Omar, 36, bertemu dengan jodoh baharu dan ingin berkahwin buat kali kedua.

Kata Mawar, dia memberi sokongan penuh selain sentiasa mendoakan yang terbaik buat Fizo untuk mencari insan yang sempurna.

"Untuk Maryam, kak Mawar tak pernah tanya sebab dia belum faham. Bagi kak Mawar pula, tak marah sebab kalau bapa Maryam nak kahwin... lagi gembira dan cepat-cepat kahwin lagi bagus.

"Kita sokong semoga bapa Maryam bertemu jodoh yang sesuai dan sangat sempurna. Kak Mawar tak sempurna serba kekurangan, kak Mawar sentiasa mendoakan yang terbaik untuk semua.

"Bagi kak Mawar dan bapa Maryam, benda yang lepas tidak perlu dikenang. Masing-masing ada kehidupan sendiri. Tidak perlu menjaja benda yang lepas, biar orang nilai diri kita sendiri," tulisnya.

Mawar menjawab pertanyaan pengikut di Ask Me Question yang ingin mengetahui perasaannya sekiranya pemilik nama Wan Hafizol Wan Omar berkahwin lagi.

"Cikyam (Maryam) marah daddy dia kahwin lain. Kak Mawar pula?" tanya individu yang tidak diketahui identitinya.

Dalam pada itu, Mawar turut berpesan kepada bakal isteri pelakon drama Adellea Sofea untuk tidak menggunakan panggilan istimewa antara seorang ibu dengan anak iaitu 'mummy' atau mama.

"Kepada sesiapa pun bakal ibu baru Maryam, yang pasti jangan panggil mummy atau mama sebab panggilan itu khas buat kak Mawar. Bukan apa dik, biarlah panggilan itu buat anakanda Maryam seorang.

"Sebab Maryam sangat istimewa buat saya. Panggilan pun sangat bermakna buat kita," tulisnya lagi.



Terdahulu, Mawar mendirikan rumah tangga dengan Fizo pada November 2013. Hasil perkahwinan itu, pasangan tersebut dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Wan Maryam yang kini berusia empat tahun.

Walaubagaimanapun, jodoh mereka tidak panjang apabila Fizo melafazkan talak satu terhadap Mawar pada 10 Julai 2019.