Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Mawar Rashid Anggap Kehidupan Baharu Ibarat ‘Gelas Kosong’ - “Saya Gembira & Syukur Dengan Peluang…”

Asyikin Mayudin
19/02/2024 10:34 MYT
Selepas bercerai dengan bekas suaminya, Raf Yaakob pada November tahun lalu, pelakon Mawar Rashid menganggap kehidupan baharunya kini ibarat ‘gelas kosong’.

Enggan berkongsi lebih lanjut mengenai kehidupan peribadi, Mawar atau nama sebenarnya Wan Mawar Shaputri berkata dia bersyukur diberi peluang kedua untuk menjalani kehidupan baharu.

“Saya berpegang dengan prinsip saya untuk tidak berkongsi isu peribadi pada umum. Sebab saya ada anak-anak… nanti mereka besar, akan baca perkara yang tak sepatutnya.

“Saya juga menghormati pihak yang terlibat. Tetapi apa yang boleh saya cakap, saya gembira dan bersyukur dengan peluang yang saya terima sekarang,

“Apabila peluang ini (kehidupan baharu), saya tidak akan sia-siakan. Saya juga bersyukur menerima sokongan daripada peminat.

“Ini adalah fasa baru dalam hidup saya, ini adalah diri saya yang baru. Semuanya baru, saya anggap diri saya seperti gelas kosong,” katanya kepada Gempak.

Mawar ditemui ketika doa selamat dan sidang media filem Jangan Pandang Belakang 2 di pejabat Metrowealth, Petaling Jaya, pada Isnin.

Dalam pada itu, Mawar turut meluahkan rasa syukur apabila keadaan kesihatannya kini semakin baik dan tidak lagi mengalami serangan panik seperti sebelum ini.

“Alhamdulillah, keadaan saya semakin baik. Tiada lagi mengalami serangan panik. Walaupun ada beberapa dugaan besar dalam hidup saya, tapi saya kini lebih gembira,” ujarnya.

Terdahulu, Mawar mengesahkan sudah berpisah dengan adik kepada chef selebriti Fazley Yaakob pada November tahun lalu disebabkan tiada persefahaman.

Untuk rekod, Mawar dan Raf disatukan sebagai suami isteri di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur pada tahun 2017.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Raden Muhammad, 4, Raden Seri Rosabella Cinta, 2, dan Raden Seri Riyanna Sayang, 10 bulan.
#Mawar Rashid
;