Penyanyi dan penyampai ZAYAN, Mawi akan membawa bersama 5 orang peserta tambahan yang telah disaring melalui rancangan pagi SALAM BROS untuk mempelajari teori dan praktikal penyembelihan haiwan mengikut tuntutan syariah.

Stesen radio ZAYAN dengan kerjasama INSAF Malaysia bakal menganjurkan sebuah ‘Kursus Penyembelihan & Pengurusan Haiwan Ibadah Korban 2018’ sempena kehadiran Hari Raya Aidiladha yang bakal tiba tidak lama lagi.



Kempen Qurban ZAYAN dianjurkan khas bagi generasi muda yang ingin mendalami pengetahuan dalam melakukan sembelihan ternakan mengikut tuntutan syariah.

Kursus pembelajaran teori dan praktikal penyembelihan haiwan korban ini dijadualkan akan berlangsung pada 11 Ogos 2018 (Sabtu) di Masjid Muadz bin Jabal, Taman Setiawangsa dan akan dikendalikan oleh penyampai radio ZAYAN, Anas Tahir bersama Presiden INSAF MALAYSIA, Ishak Abdul Kadir.

“Melalui kempen Qurban ZAYAN ini, kami ingin memberi pendedahan kepada golongan muda mengenai kaedah sembelihan secara teori dan praktikal menurut Syariah. Generasi muda akan menjadi pelapis dalam bidang pengurusan dan penyembelihan haiwan ternakan supaya dapat terus menjamin kesejahteraan dan kebersihan.

“Dengan ini, kami ingin menjemput para pendengar ZAYAN untuk mempelajari ilmu sembelihan yang sempurna menurut Syariah secara percuma. Sertai Anas dan Mawi dalam usaha ZAYAN untuk terus berkongsi ilmu dan dakwah Bersama,” kata Wan Syahrul Amry Wan Mansor, Pengurus Kandungan ZAYAN.

Bagi yang berminat untuk menyertai kempen ini, hantarkan butiran peribadi anda dan sebarang pertanyaan mengenai kursus menerusi WhatsApp INSAF MALAYSIA ke +6010 8080 447 sebelum 10 Ogos 2018. Tempat adalah terhad dan keutamaan diberikan kepada peserta terawal yang mendaftar. Tertakluk kepada terma dan syarat.

Untuk maklumat lanjut mengenai ZAYAN dan kempen-kempen yang akan dianjurkannya, sila layari https://zayan.my/.

Teks: Kamaruddin Razal