Gandingan penyanyi Mawi bersama Anas Tahir bukan saja menghiburkan ramai pendengar di radio tapi mereka juga mampu menjadikan suasana majlis kahwin kepada suatu yang luar biasa.

Mawi memberitahu, mereka yang diberi kepercayaan sebagai pengacara satu majlis kahwin baru-baru ini melakukan pelbagai aktiviti menarik bersama pengantin dan tetamu.

"Kami bukan saja mengacara majlis tapi turut berselawat sebelum pengantin sampai sehingga mewujudkan suasana seperti zaman dulu-dulu dengan meminta pengantin lelaki membayar 'tol' ketika sampai, bayar tol lagi untuk melihat wajah pengantin perempuan dan nak duduk sebelah pengantin perempuan pun kena bayar," katanya kepada Astro Gempak.

Semalam kami diamanahkan untuk memeriahkan majlis perkahwinan Daniyal & Atiqah sebagai pengacara majlis & persembahan nyanyian. Belanja sikit lagu #Puasa6 bersama @anastahir_zayan & @oja_tunable Video penuh boleh tonton di youtube ? . . . #KerjaKahwin #SalamBros #BroBuskers #Zayan #IndahDiHati

A post shared by MAWI @ZAYAN.MY (@cahayaasmawi) on


Ujarnya, aktiviti sebegini diadakan bertujuan memeriahkan majlis dan ia dirancang bersama tuan rumah termasuk pasangan pengantin sendiri sebelum mendapat persetujuan.

"Kami juga hidupkan kembali acara bersilat depan pengantin. Selepas itu pengantin berjalan perlahan-lahan mengikut tempo selawat masuk ke dalam dewan sambil mengajak orang ramai berdiri untuk berselawat bersama-sama," katanya.

Anas pula menyatakan uniknya acara selawat ini adalah ia diiringi persembahan muzik secara live band.

Mengikut atur cara, pengantin terlebih dulu duduk di meja beradab dan pasangan duo selebriti ini kemudian membacakan doa untuk pengantin dan doa majlis.



Tambah menarik, Anas membacakan doa dalam bahasa Arab manakala Mawi dalam bahasa Malaysia sambil diiringi petikan gitar oleh pemuzik, Oja & Tunable Band.

"Mawi berdoa penuh merintih sambil diiringi gitar membuatkan suasana lebih meriah.

"Kami bawa konsep menyanyi secara spontan. Apabila kami menyanyi dan tetamu yang duduk membelakangkan pentas berpusing melihat kami menyanyi maknanya kami berjaya tarik perhatian mereka," katanya.

Mereka juga mengadakan sesi temubual bersama pengantin yang turut memberi ucapan dan berkongsi kisahnya jatuh cinta dengan pasangan.

"Dalam majlis itu, kami pun terapkan sunah-sunah yang dilakukan Rasulullah S.A.W seperti pengantin menyuapkan makanan kepada pasangannya," katanya.

Anas mengakui, acara yang dilakukan secara santai ini menjadikan suasana lebih meriah bersama acara permainan bersama tetamu yang berpeluang menang hadiah berupa hamper.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @cahayaasmawi