Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
BERITA

Mawi Terharu 300 Hadir Kursus Pengurusan 'Bakal Jenazah', Bakal Anjur Yang Kedua

Fiza Kamarudin 05/08/2019 | 10:54 MYT
Pelakon dan penyampai radio, Mawi, terharu kursus Pengurusan Bakal Jenazah yang dianjurkannya hujung minggu lepas dihadiri 300 peserta.
Menurut Mawi, sambutan tersebut membuatkan dia bersemangat untuk menganjurkan kursus Pengurusan Bakal Jenazah 2.0 tidak lama lagi.
Menariknya, peserta tidak perlu membuat apa-apa bayaran untuk menyertai kursus tersebut yang diadakan di kediamannya yang terletak di Bangi.
“Alhamdulillah, sambutan sangat bagus dan menggalakkan. Saya bercadang untuk mengadakan Pengurusan Bakal Jenazah 2.0 pula dalam dua tiga bulan lagi.
“Saya buka kepada semua, jika mahu merasai pengalaman sebagai jenazah boleh sertai kami…Percuma sahaja,” katanya kepada Gempak.
Tambah Mawi, dia memilih untuk mengadakan program fardhu kifayah tersebut kerana ingin memberi kesedaran bahawa ilmu pengurusan jenazah adalah sangat penting kepada orang Islam.
“Sebagai orang Islam, sangat penting untuk kita tahu tentang pengurusan jenazah dan sentiasa bersedia dengan kematian.
“Cuba bayangkan kalau tiba-tiba ada kematian dalam keluarga kita, dan kita tak tahu nak buat apa. Sekurang-kurangnya kita tak panik jika itu berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, Mawi memberitahu, kurangnya promosi mengenai program seumpama ini juga antara sebab kursus Pengurusan Bakal Jenazah diadakan.
Mawi juga meletakkan target untuk menarik lebih ramai golongan remaja menyertai kursus ini pada masa akan datang.
“Ilmu pengurusan jenazah ini agak terpencil dan kurang dipromosikan…Jadi saya cuba promosikan ilmu ini terutama kepada golongan remaja,” ujarnya.
#Mawi #Mati #Pengurusan Bakal Jenazah