Tiga artis terkenal tempatan, Maya Karin, Andi Bernadee dan Fara Fauzana mengumumkan penyertaan mereka dalam perlumbaan kerusi roda Wheel with Me sempena dengan program YOKUK20 Karnival 2019 yang akan diadakan di Kota Bharu, Kelantan, pada hari Sabtu 20 Julai 2019 bermula jam 7 pagi anjuran YOKUK (Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan).

'Wheel with Me' bertujuan untuk mengintegrasikan kedua-dua komuniti kurang upaya dan upaya bersama untuk menyertai perlumbaan yang menyeronokkan dan mempromosi gaya hidup yang sihat.

Semua lapisan masyarakat dijemput untuk mengambil bahagian dalam perlumbaan kerusi roda ini kerana YOKUK ingin terus mempromosikan bakat yang luas dan tidak ternilai dalam masyarakat kurang upaya di Kelantan.

Dalam pada itu, Andi juga akan melakukan persembahan istimewa untuk YOKUK20 Karnival 2019 nanti.

"Tumpuan utama kempen ini adalah kepercayaan kami terhadap kekuatan sukan untuk menyembuhkan dan memberi inspirasi. Acara ini bertujuan untuk memaklumkan kepada masyarakat bahawa setiap orang kurang upaya ada bakat dan kemahiran yang mampu dicapai sebagaimana rakan-rakan upaya mereka yang lain," kata Datin Suliana Shamsuddin Alias selaku Pengerusi dan Pengarah Eksekutif YOKUK.

Azrulkhan Hasrullah atau dikenali sebagai Adam yang berjaya naik ke Everest Base Camp pada 2018 dengan hanya menggunakan tangannya juga bakal menyertai acara 'Wheel with Me' YOKUK 20 Karnival 2019 bersama 4 orang lagi atlit Paralimpik Malaysia.

Komitmennya untuk meningkatkan kesedaran orang kurang upaya tentang keupayaan mereka telah dibuktikan dengan penyertaannya untuk acara tersebut.

Tambah Suliana, dia juga berharap ramai yang akan datang dan membawa keluarga dan sahabat mereka ke karnival terbabit kerana akan ada banyak aktiviti yang sesuai untuk keluarga.

Terdapat sekurang-kurangnya 40 gerai menjual pelbagai barangan makanan dan barangan lain, Cabutan Bertuah, permainan untuk dewasa dan kanak-kanak serta banyak lagi.

Pesta Sambutan Hari Jadi juga akan diadakan untuk 400 kanak-kanak istimewa dengan tetamu kehormat Yang Berbahagia Cik Puan Sofie Louise Johansson, isteri kepada Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra.

Ikuti perkembangan penganjuran YOKUK20 Karnival 2019 dengan melayari FB kami: YOKUK atau Instagram: myyokuk dan sila layari bit.ly/wheelwithme untuk mendaftar.