Berita
Maya Karin Minum Pakai Batang Daun Betik! Ini Respons Netizen...
Pelakon dan penyanyi Maya Karin meluahkan rasa terujanya apabila berpeluang merasai sendiri pengalaman minum menggunakan batang daun betik sebagai pengganti straw plastik.
Aktres berusia 40 tahun itu berkongsi pengalamannya menerusi perkongsian sebuah video yang dimuat naik di Twitter.
Maya yang cukup sinonim sebagai pencinta alam sekitar itu berkata, dia belum pernah menemui alternatif menggunakan pohon betik sebelum ini.
"Penemuan terbaru. Straw batang daun betik! Makanya, sekarang ini kita sudah ada straw keluli, kertas, ubi kayu, kangkung, betik dan lain-lain lagi.
"Yang ini (batang daun betik), menjadi kegemaran saya. Tiada lagi alasan untuk menggunakan straw plastik," tulisnya.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Perkongsiannya itu kemudian menerima pelbagai respons dalam kalangan pengikutnya.
Ada yang memaklumkan kepada Maya bahawa penggunaan batang daun betik juga sebagai rawatan bagi mereka yang sakit tekak.
"Saya sudah menggunakannya sejak berumur 8 tahun lagi. Apabila saya mengalami sakit tekak, ibu saya akan beri air suam untuk diminum dengan batang daun betik," tulis salah seorang pengikutnya.
Maya merupakan artis yang cukup prihatin dengan kepentingan pemuliharaan alam sekitar.
Usahanya dalam mewujudkan kesedaran kepada masyarakat itu kemudian mendapat perhatian Kementerian Wilayah Persekutuan yang melantiknya sebagai ikon River of Life pada awal tahun ini.