Mayat Hampir Reput, Nur Farah Kartini Dipercayai Sudah Meninggal Dunia Beberapa Hari - “Belum Dapat Dipastikan Kecederaan Yang Ada”
Gempak
16/07/2024 08:11 MYT
16/07/2024 08:11 MYT
Mayat bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah ditemui di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, pada Isnin dalam keadaan hampir reput.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari.
"Ketika mayat mangsa ditemukan, keadaannya sudah hampir reput kerana telah meninggal dunia beberapa hari.
"Jadi, belum dapat dipastikan kecederaan yang ada," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Dalam pada itu, Hussein memaklumkan, masih terlalu awal pihaknya untuk membuat sebarang kesimpulan motif kejadian selain tiada sebarang rampasan senjata di lokasi penemuan mayat termasuklah dakwaan perselisihan faham antara mangsa dan suspek.
“Proses bedah siasat masih lagi berjalan (hari ini) bagi mengetahui punca kematiannya," ujarnya.
Sebelum itu, suspek berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Kontinjen Perak telah direman tujuh hari sehingga 22 Julai depan untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Siasatan awal polis mendapati tempat penemuan mayat merupakan lokasi kejadian utama.
Sinar Harian melaporkan mayat Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, ditemui di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira jam 6 petang, pada Isnin.
Sumber - Sinar Harian