Berita
Mayat Reput Ditemukan Di Susur Keluar Rawang Bypass
Satu mayat yang masih belum dikenal pasti identiti ditemukan di laluan susur keluar Rawang Bypass di sini dalam keadaan mereput pada Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima maklumat awal penemuan mayat tersebut pada jam 10.09 pagi.
Beliau berkata, seramai 10 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menguruskan mayat tersebut.
"Jentera bomba tiba di lokasi kejadian jam 10.16 pagi dan pasukan petugas memulakan tugas mengangkat mayat.
"Mayat yang telah reput itu diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir mengesahkan penemuan mayat terbabit dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Kata beliau, satu kenyataan media akan dikeluarkan berhubung penemuan mayat tersebut.
Sumber: Astro AWANI