Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

MB Perak Saran Rakyat Tanam Sayur, Ternak Haiwan Untuk Kegunaan Sendiri

Azwa Rahman
31/05/2022 10:43 MYT
Kerajaan Negeri Perak menyarankan supaya rakyat di negeri itu menanam sendiri sayur-sayuran dan memelihara haiwan ternakan untuk kegunaan sendiri susulan kekurangan bekalan makanan yang dihadapi ketika ini.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata langkah itu juga merupakan antara inisiatif bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat yang terkesan akibat kenaikan harga beberapa produk pertanian dan penternakan ketika ini.

Sayur-sayuran boleh ditanam manakala kambing, lembu, kerbau dan ayam boleh diternak untuk kegunaan sendiri serta boleh dijual sekiranya bekalan itu berlebihan.

"Sebab itu saya kempen di merata tempat supaya apa yang kita hendak makan, kita tanam dan ternak sendiri supaya kita tidak terlalu bergantung kepada bekalan dari luar," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Program Agrofest Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC).

Beliau juga berkata bagi memperkasa bidang sekuriti makanan, SADC dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Perak akan membangunkan Projek Taman Agroteknologi Manong di Kuala Kangsar di kawasan seluas 40 hektar yang telah diluluskan pada Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah perbadanan itu pada April lepas.

SADC juga telah memulakan projek Hab Halal Perak bagi mengukuhkan lagi bidang sekuriti makanan. Malah ia dilihat mampu menyediakan peluang pekerjaan sekali gus membantu kerajaan negeri dalam meningkatkan penjanaan ekonomi rakyat," katanya.


Sumber: Bernama

#Menteri Besar Perak #Tanam sayur #Ternak haiwan
;