Penyanyi rap, penghibur, produser dan penyumbang voice over radio, MC Syze muncul dengan sebuah single berbahasa melayu berjudul Selamba hasil kolaborasi bersama Joe Flizzow setelah 14 tahun menyepi.

Lagu ini akan dimuatkan di dalam sebuah album terbaharunya, Syze Does Matter yang memaparkan nama besar dalam industri Tamil tempatan, Psychomantra.

Menurut Syze yang sebelum ini pernah terkenal dengan lagu Message Girl bersama kumpulan VE, tahun 2020 merupakan tahun terbaik untuk kemunculan semula dirinya dengan lagu bahasa melayu.



“Ramai sedia maklum tahun 2020 merupakan satu tahun yang sangat mencabar. Tapi saya pernah melalui keadaan yang sukar dahulu jadi kini biar saya berkongsi sedikit cahaya kegembiraan menerusi lagu terbaru ini bersama dengan orang ramai.

“Tambahan pula dengan keadaan pendamik yang akan melarat lagi beberapa tahun, saya percaya muzik boleh jadi penyembuh,” ujar Syze kepada Gempak.

Syze dan Joe ditemui pada majlis pelancaran lagu Selamba yang diadakan di Hotel Concorde, Kuala Lumpur pada Rabu.

Pernah tampil dalam program hiburan Joe Flizzow, 16 Baris, dia mencipta sendiri melodi lagu Selamba itu dengan bantuan beberapa rakan selebriti dari segi lirik.

“Mood masa kami bekerja tu sangat santai sampaikan satu perkataan yang boleh saya gambarkan pada waktu itu adalah selamba.

“SonaOne turut menolong saya dengan rangkap kedua lagu tersebut dan ia turut diperkemaskan lagi dengan bantuan daripada Alyph. Dalam masa 45 minit, saya dapat maklum balas yang baik daripada Alyph yang memberikan bantuan pada rangkap kedua,” jelasnya lagi.

Video muzik lagu Selamba sudah mula dilancarkan pada Jumaat di laman YouTube Syze dan lagu Selamba sudah boleh distrim di pelbagai platform penstriman.

Terdahulu, Syze pernah membina portfolio tersendiri sebagai artis pembuka untuk konsert Kanye West di Kuala Lumpur, Missy Elliot di Genting Highlands, Nas di Bangkok, The Roots di Bukit Kiara dan banyak penghibur Hip-Hop antarabangsa lain sepanjang kariernya selama 16 tahun.