Laman Utama
McDonald’s Malaysia, Astro Santuni Masyarakat Menerusi McDelivery Berbakti – Penghantaran Makanan, Keperluan Harian Kepada Keluarga Asnaf, Frontliners
McDonald's Malaysia bekerjasama dengan Astro menerusi McDelivery Berbakti, sebuah program penghantaran makanan dan keperluan harian kepada keluarga asnaf dan petugas barisan hadapan negara.
Pada April lalu, McDonald's dan Astro menyertai program Ziarah Ramadan anjuran Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), dan 10 keluarga asnaf telah menerima sumbangan berupa wang tunai, barangan keperluan harian, dan hidangan berbuka puasa daripada McDonald's.
Pengarah Urusan Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar berkata McDonalds tidak pernah melupakan golongan memerlukan lebih-lebih lagi pada masa sukar ini.
“Bulan suci Ramadan adalah masa untuk bermuhasabah diri dan membantu mereka yang kurang bernasib baik.
“Dalam mengharungi masa-masa sukar ini, adalah penting bagi McDonald’s sebagai sebuah organisasi untuk mengingatkan masyarakat bahawa mereka tidak bersendirian,” katanya.
McDonald's dan Astro menganjurkan pelbagai aktiviti amal di bulan Ramadhan, antaranya pengagihan makanan kepada 1,000 orang petugas barisan hadapan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Aktiviti tersebut turut melibatkan penyanyi dan pengacara, Alif Satar, bagi menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan atas dedikasi tidak berbelah bahagi mereka dalam melaksanakan tanggungjawab demi menjaga keselamatan rakyat Malaysia.
Pengarah Penyelesaian Media Astro, Wong See Wei berkata, Astro sangat berbersar hati dapat menjalin kerjasama dengan McDonald’s.
"Kami sangat berbesar hati dapat menjalin kerjasama dengan McDonald’s di bulan Ramadan ini untuk mendekati masyarakat.
“Di sebalik pelbagai peraturan keselamatan yang ditetapkan, kami gembira dapat menjalankan aktiviti yang dirancang, pada masa sama memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi,” katanya.
Selain daripada kerjasama dengan Astro di bulan Ramadan ini, McDonald's Malaysia meneruskan tajaan makanan untuk moreh kepada masjid-masjid terpilih di seluruh negara.
Persatuan Kebajikan Ronald McDonald yang merupakan badan kebajikan pilihan McDonald’s turut menganjurkan beberapa sesi berbuka puasa di lima rumah anak yatim di Lembah Klang dan Kelantan.
McDonald’s turut menyumbangkan wang tunai sebanyak RM5,000 kepada setiap rumah anak yatim tersebut.
Mendekati masyarakat merupakan komitmen McDonald’s dalam mewujudkan impak positif di kalangan masyarakat.
Pada tahun lalu, McDonald's menganjurkan lebih 7,000 program kemasyarakatan yang telah memberi kegembiraan kepada jutaan rakyat Malaysia.