Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
ANTARABANGSA

McLaren 600LT Coupe, unit istimewa sempena pengeluaran yang terakhir

Erywan 05/08/2019 | 01:46 MYT

McLaren bakal menamatkan pengeluaran model 600LT Coupe dan bagi meraikan perpisahan itu, satu unit istimewa diumumkan pembinaannya.

Model itu dibina selari dengan hasrat untuk meraikan kereta supercar ke-1,000 yang dijual oleh pihak pengedar McLaren London.

McLaren London sebenarnya adalah pengedar pertama McLaren Automotive yang memulakan operasi menerusi pembukaan bilik pameran pada bulan Jun 2011.

Bagi memastikan jentera itu kekal luar biasa, ia diserahkan kepada unit Operasi Khas McLaren (MSO).

Sebagai permulaan MSO memberi pengenaan gentian karbon sebagai hiasan pada bahagian luaran dan dalam jentera. Ini termasuk menambah skup pada bumbung yang diperbuat daripada gentian karbon.

Kerusi jenis perlumbaan juga dihasilkan dengan menggunakan material sama. Nat kekunci tayar pula diperbuat menggunakan material titanium. Tambahan lain membabitkan bar dan tali pinggang pemandu 6 poin.

Aspek naik taraf luaran membabitkan dua pakej MSO dengan material gentian karbon dan empat unit rim 10 jejari ringan berwarna hitam kilat.

McLaren 600LT Coupe menggunakan enjin 3.8 liter V8 bersama turbo berkembar yang menjana kuasa 600PS. Ia boleh dipecut sehingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam 2.9 saat berserta kelajuan maksimum 324km/j.

#Drebar #McLaren