Mechamato kini ke seantero dunia! Siri keluaran studio Monsta itu mencipta sejarah tersendiri apabila mendapat hak siaran di 65 buah negara di seluruh dunia.

Selepas kejayaan animasi BoBoiBoy, MONSTA kini sedang giat melangkah lebih jauh ke persada dunia menerusi animasi terbarunya iaitu Mechamato.

Pengarah Pemasaran MONSTA, Faiz Zainal Abidin berkata, pihaknya amat teruja dan berbangga dengan pencapaian animasi Mechamato apabila berjaya menambah lagi siaranya di beberapa buah negara lain.

“Mechamato sudah pun bersiaran di negara-negara Asia Pasifik, Jepun, Korea Selatan, Australia, Taiwan dan banyak lagi, dan selepas pengumuman rasmi siaran Mechamato bakal ditayangkan di Portugal pada bulan lepas, siri animasi ini terus mendapat perhatian dengan penambahan siaran di 40 buah negara lain termasuk di India, Turki, Timur Tengah dan Afrika.

“Kami teruja dengan pencapaian Mechamato yang terus mendunia, dan bersempena dengan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-65 tahun ini, Mechamato sebagai ‘Adiwira Kita’ digambarkan bakal membakar semangat dan memberi inspirasi kepada semua untuk lebih yakin dalam kesungguhan untuk melangkah lebih jauh dalam persada antarabangsa,” katanya.

Mechamato Di TV Tempatan Dan Netflix

Tidak cukup dengan itu, siri animasi ini bakal menemui rakyat Malaysia menerusi lebih banyak saluran utama antaranya stesen televisyen tempatan TV9 dan TV3, penstriman NETFLIX dan saluran Youtube MONSTA bermula Oktober ini.

Mechamato Di Indonesia Dan Singapura

Sementara itu, peminat di Indonesia dan Singapura turut boleh menonton siri animasi Mechamato di pelbagai rangkaian utama negara-negara tersebut bermula pada bulan yang sama.

Mechamato Bantu Eksport Animasi Malaysia

Animasi Mechamato yang dilancarkan pada November 2021 menerusi saluran antarabangsa Cartoon Network Asia ini telah dibangunkan dengan sokongan dana dari Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan bertujuan untuk membantu mengeksport animasi Malaysia ke peringkat antarabangsa sekaligus menjadikan Malaysia antara pengeluar animasi utama di rantau Asia Pasifik.

Mechamato Movie Di Pawagam Malaysia

Kemuncaknya pula, sebagai penutup tahun 2022, Mechamato Movie bakal menemui penonton pada bulan Disember ini di pawagam seluruh negara. Malah, sebuah video khas tentang perjalanan siri animasi Mechamato di persada antarabangsa boleh ditonton di saluran Youtube MONSTA dan stesen TV tempatan bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun 2022.

Tonton siri animasi Mechamato sekarang di saluran Cartoon Network Asia, HBO GO, Astro Prima dan di aplikasi Astro Go. MONSTA ingin mengucapkan selamat Hari Kebangsaan ke-65 dan Hari Malaysia ke-59 kepada semua, mari bersama-sama meletakkan nama negara di pentas dunia.