Mee Calong, Resepi Tradisi Rakyat Terengganu

Badrul Hashim
April 19, 2018 04:11 MYT
Mungkin tak ramai di luar Terengganu yang tahu tentang kewujudan Mee Calong. Kalau di kampung, cara masakan ini dipanggil 'tumis air' atau 'tumis putih'.

Bebola ikan yang sedap menggunakan ikan tenggiri, ikan selayang (sardin) atau ikan parang. Mee Calong selalunya menggunakan mee kuning, tetapi jika anda suka, anda boleh juga menggunakan bihun ataupun kuey teow.

Selain daripada itu Mee Calong menggunakan sayur sawi, tetapi apa juga sayur kegemaran anda boleh digunakan seperti kobis, salad dan lain-lain.

Ini cara mudah untuk membuat Mee Calong.

Bahan-bahan:

1/2 paket mee kuning

1 keping ikan tenggiri - diambil isi dan dikisar

1 sudu kecil tepung jagung/ubi

1 genggam salad butterhead (boleh gunakan sawi)

1/2 sudu kecil lada hitam - ditumbuk kasar

1 sudu besar minyak masak untuk menumis

1 mangkuk air

garam secukup rasa

Bahan ditumbuk lumat:

4 ulas bawang merah

3 ulas bawang putih

1/2cm hali muda

Cara-caranya:

Isi ikan tenggiri yang sudah dikisar dicampurkan dengan sesudu kecil tepung jagung atau tepung ubi kayu. Campurkan setengah sudu kecil bahan yang ditumbuk lumat, garam secukup rasa dan sedikit lada hitam.

Bulatkan bebola ikan tenggiri sebesar guli atau mengikut saiz yang anda suka. Cuma jangan terlalu besar.

Panaskan kuali dan masukkan satu sudu besar minyak. Kemudian tumis bahan-bahan yang ditumbuk lumat tadi.

Apabila bahan sudah bangkit aromanya, boleh masukkan semangkuk air, garam secukup rasa serta lada hitam. Biarkan bahan-bahan tersebut mendidih.

Sebaik sahaja sup itu mendidih, masukkan bebola ikan tenggiri. Biarkan seketika sehingga bebola ikan timbul di permukaan menandakan ianya sudah masak. Anda boleh baiki rasa ketika ini, sama ada untuk menambah garam atau tidak.

Kalau anda menggunakan salad butterhead seperti saya, ianya tidak memerlukan masa yang lama. Sebaik sahaja Bebola ikan masak, masukkan sayur dan biarkan seketika sebelum padamkan api.

Kemudian di dalam periuk lain, panaskan air dan celur mee kuning secara berasingan. Ini untuk memastikan mee kuning tidak terlalu kembang dan pada masa yang sama juga kita bersihkan mee kuning tersebut.

Mee Calong sudah siap untuk disediakan. Masukkan mee kuning ke dalam mangkuk dan kemudian tuangkan sup bersama bebola ikan tenggiri dan sayur. Anda juga boleh hidangkan Mee Calong bersama kicap dan cili atau sambal belacan.

#Food #Food