Pelakon Izzue Islam membuat laporan polis selepas diberitahu wajahnya digunakan syarikat perjudian atas talian tanpa pengetahuan.

Izzue berkata dia tidak pernah terlibat dengan pengiklanan komersil judi seperti mana tular di media sosial.

Dalam pada itu Izzue turut berterima kasih kepada para pengikutnya di Instagram yang telah memaklumkan mengenai perkara tersebut.

“Aku tidak pernah terjebak dengan iklan kasino dalam talian! Tolong jangan buat orang keliru.

“Terima kasih pada semua yang mesej (Direct Message), kalau korang tak DM aku pun tidak tahu fasal hal ini,” ujarnya di Instagram.

Tambah Izzue dia membuat laporan polis iklan tersebut bukan sahaja menjatuhkan maruahnya sebagai artis dan orang Islam, tetapi juga boleh memperdaya orang ramai.

“Guna gambar untuk iklan judi, itu melampau!

“Sebab itu saya buat laporan polis. Saya ingin menegaskan yang saya tak pernah terlibat dengan mana-mana iklan judi. Apatah lagi membenarkan gambar saya digunakan.

“Lagi pun saya beragama Islam. Mana mungkin saya terlibat dengan semua itu. Saya masih waras!

“Selain itu, saya juga bimbang lebih ramai yang terpedaya untuk terlibat dalam Judi tersebut apabila gambar saya digunakan,” katanya kepada Gempak.

Baru-baru ini tular sebuah iklan yang memaparkan wajah Izzue telah disunting berlatar belakangkan pusat peranginan terkemuka di Pahang, yang terkenal dengan pusat perjudian kasino.