Bintang Gegar Vaganza lapan (GV8) Fazley Yaakob enggan kecundang dengan kecaman sesetengah netizen yang seolah-oleh mendoakannya tersingkir pada setiap minggu konsert.

Menurut Fazley, penghinaan yang dilemparkan terhadapnya juga tidak sekelumit pun melunturkan semangat untuk membuktikan dia layak beraksi di pentas GV.

“Apabila ke pentas GV minggu pertama saya dah buka minda dan saya tak tutup pun ruang komen, saya benarkan mereka untuk kritik, mengeji dan sebagainya

“Bila di pentas GV kita milik mutlak penonton, hak mereka untuk menilai. Jadi apabila ada orang minta kita terkeluar, maknanya orang ambil peduli untuk apa yang kita buat.

“Kalau orang tak nak pilih siapa yang mereka nak keluar maknanya saya tak tonjolkan apa-apa di pentas GV.

“Saya dah jelaskan 10 tahun tak menyanyi, dah bertahun-tahun tak nak masuk GV, tapi kali ini saya masuk untuk anak perempuan saya.

“Jadi andai kata netizen kata minggu ni terkeluar, fazley terkeluar, saya cakap tak mengapa. If saya keluar pun saya happy sebab saya dah buat apa yang saya dah buat,” katanya.

Jelasnya, dia sememangnya memerlukan latihan dan persediaan dari segi vokal kerana selama ini dia lebih kerap beraksi di dapur.

“Persediaan vokal masih perlu sebab saya banyak di dapur, di dapur saya tak menyanyi.

“Saya juga tak banyak persembahan live langsung selama lapan tahun ini. Oleh itu saya rasa bangga kerana mewakili rakan-rakan yang dah lama tak menyanyi serta wakil tukang masak juga.

“Ini dunia yang saya buka untuk untuk mereka melihat bagaimana tukang masak pun boleh menyanyi,” katanya.

Sekadar info, konsert kedua Gegar Vaganza 8 (GV8) yang berlangung semalam menyaksikan Fazley berada di kedudukan kedua terbawah dengan markah sebanyak 56 peratus.

Kumpulan Nico G pula menjadi bintang yang berada di kedudukan terbawah dengan hanya memperoleh markah 52.9 peratus.

BACA : GV8: Tiada Penyingkiran! Nico G Tercorot, Aliff Aziz Juara Mingguan Lagi

Dihoskan oleh Jihan Muse dan Nabil Ahmad, GV8 bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam.

GV8 turut menampilkan Datuk Ramli MS dan mengembalikan Hetty Koes Endang serta Datuk Syafinaz Selamat sebagai juri tetap dan akan dibantu juri jemputan setiap minggu.

Teruskan menonton GV8 yang dibawakan sekali lagi oleh Farm Fresh selaku Penaja Utama, disokong Adabi dan CUCKOO Healthy Home sebagai Penaja Bersama selain Digi selaku Telco Rasmi.

Rangkaian program GV8 akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (124) dan Astro Ria HD (104) serta turut boleh diakses menerusi portal Gempak dan aplikasi Astro Go untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Klip sedutan sesi latihan vokal, persediaan dan trivia para peserta dapat ditonton melalui liputan kapsul ‘Kapsul Gegar Vaganza’ yang akan disiarkan pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang bermula 15 November.

Bagi yang terlepas untuk menonton, program ‘Kompilasi Kapsul Gegar Vaganza S8’ akan disiarkan khas pada setiap hari Sabtu, jam 7.00 malam mulai 20 November 2021.

Untuk pengisian di platform digital, program ‘Gegar Vaganza Live Plus’ akan disiarkan secara serentak di www.gempak.com/gegarvaganza ketika berlangsungnya konsert mingguan ‘GV8’ bermula 21 November 2021.