Seorang ibu bernama Naizah Ismail berkongsi kejadian yang tidak diingini yang menimpa anak lelakinya menerusi sebuah entri di laman Facebook.

Menurut Naizah Ismail, anaknya Ahmad Furqan melecur di bahagian tapak tangan dan jari selepas memegang periuk nasi yang sedang mendidih.

Ketika kejadian, Furqan menekup tangannya di bahagian wap air keluar sehingga perkara itu disedari ayahnya, Nik Azreen.

"Kita rasa ujian yang Allah bagi kita dah cukup berat. Tapi kita tak sedar yang kat luar sana, masih ada insan yang diuji lebih hebat dari kita. Semoga setiap yang diuji, Allah kurniakan kesabaran setinggi gunung.

"Beberapa bulan yang lepas, Ahmad Furqan terkena periuk panas. Dia tekup tangan kat lubang yang keluar wap masa nasi tengah mendidih.

"Melecur jari dan telapak tangan sehingga isi dah masak. Masa kena, dia tak terus angkat tangan dan menangis. Melekat je tangan kat situ, sampai la abi dia perasan dia pegang periuk.

"Bila tarik tangan, telapak tangan dia dah putih. Masa tu baru dia menangis. Mungkin baru terasa sakit," kongsinya.



Dedah Naizah, dia telah meletak kicap dan ubat gigi pada tempat melecur disebabkan panik tidak tahu apa yang harus dilakukan.

Namun cara itu salah, sepatutnya perlu disiram dengan air paip untuk mengelakkan daripada terus merebak.

"Orang kata, bila kena air panas, periuk panas dan seangkatan dengannya, tak boleh siram tempat yang kena tu dengan air paip. Macam-macam la petua orang bagi. Kami yang takda ilmu ni ikut je la.

"Nak dijadikan cerita,masa kena kami letak kicap. Selepas letak kicap, letak pulak ubat gigi. Dah macam eksperimen tangan anak sendiri. Puncanya sebab kurang ilmu.

"Cara yang sebetulnya, bila dah kena, siram dengan air paip. Untuk elakkan panas tu dari terus merebak.

"Mungkin ada yang dah tahu dan mungkin ada yang belum tahu. Yang tak tahu, kena ambik tahu. Yang dah tahu, jangan kecam kami yang tak tahu," tulisnya lagi.



Tambah Naizah, dia dan suami menerima kecaman daripada warganet yang mempertikaikan cara mereka menjaga anak.

Walaubagaimanapun, jelas Naizah keadaan Furqan makin pulih dan hanya perlu bertemu dengan doktor untuk rawatan fisioterapi.

"Rata-rata yang persoalkan macam mana boleh kena. Ada yang kata kami tak pandai jaga anak. Macam-macam kecaman la yang telinga ni kena dengar.

"Apa boleh buat sabar je la. Mak mana yang nak tengok anak sakit. Lagi-lagi bila terpaksa ulang alik ke hospital. Penat oii. Untunglah mak-mak yang lain pandai jaga anak.

"Kadang-kadang rasa down. Tapi alhamdulillah ada suami yang positif. Setiap hari bagi kata-kata semangat.

"Tapi alhamdulillah, sekarang dah okay. Tangan dah baik. Hanya perlu jumpa pakar fasio ja untuk jari yang dah bengkok sikit. Yela, besi yang sepatut pakai tiga minggu hanya bertahan dua minggu ja.

"Ujian ni tak seberapa. Masih ada kat luar sana yang ujiannya lebih hebat. Biasala kita pendosa tanpa noktah. Bersyukur sebab Allah beri ujian untuk hapuskan dosa-dosa kita masa kita masih kat dunia.

Hanya perlu ingat, bila diuji, terima dengan redha. Suami isteri kena main peranan. Kalau salah seorang down, yang seorang lagi tak boleh ikut down. Jadilah penyumbang kata-kata semangat.

"Untuk orang sekeliling, jangan terlalu mengecam sebab kita tak tahu ujian apa yang Allah sediakan untuk kita," tulis Naizah.