Memahami Situasi Menimpa Amir Ahnaf, Dolla Sentiasa Cuba Yang Terbaik Untuk Peminat - “Selebriti Bukanlah Robot, Kami Juga…”
Asyikin Mayudin
11/06/2023 14:50 MYT
11/06/2023 14:50 MYT
Menjadi selebriti yang dikenali bukanlah sesuatu yang mudah, terutama walau dalam keadaan macam mana pun perlu memberikan yang terbaik untuk peminat-peminat yang sentiasa menyokong.
Menurut anggota kumpulan Dolla iaitu Syasya, dia memahami apa yang terjadi kepada pelakon Amir Ahnaf baru-baru ini memandangkan selebriti juga manusia biasa yang turut melalui fasa turun dan jatuh seperti orang lain.
Bagaimanapun, dia dan tiga orang lagi ahli Dolla iaitu Sabronzo, Angel dan Tabby akan sentiasa mencuba memberi yang terbaik untuk peminat mereka walaupun dalam keadaan kepenatan.
“Selebriti pun bukanlah robot, kami juga ada lalui fasa ups and downs. Ada sesetengah peminat yang faham, dimana ia bagus juga. Tapi kalau ada yang tak faham itu, kami tetap akan cuba yang terbaik untuk mereka.
“Apa yang terjadi kepada Amir Ahnaf, mungkin saya faham. Kepada iDolla’s yang selalu nak ambil gambar, Insya-Allah selagi kami mampu, kami akan layan walaupun dalam keadaan penat macam mana pun,” katanya kepada Gempak.
Dolla ditemui ketika majlis pelancaran Pizza Hut Melts dalam kerjasama dengan Dolla di Pizza Hut, Sunway Pyramid baru-baru ini.
Dalam pada itu, Tabby memberitahu melayan dan memberikan yang terbaik kepada peminat sememangnya salah satu tugasan bagi seorang artis.
“Bagi saya, sebagai artis kita cuba sedaya upaya untuk peminat walaupun dalam keadaan penat. Kami memahami saja, manusia kan. Tapi kerja kami adalah layan dan memberi semula kasih sayang kepada peminat,” ujarnya.
Baru sahaja nama melonjak naik, pelakon Amir Ahnaf didakwa sudah tunjuk belang apabila enggan melayan peminat yang mahu bergambar dengannya.
Menerusi perkongsian di TikTok, seorang individu memuat naik satu kisah apabila permintaannya untuk bergambar bersama didakwa tidak dilayan oleh pelakon drama bersiri Projek: High Council tersebut.
Menurut individu tersebut, mereka bertemu dengan Amir di sebuah program nyanyian dan menunggunya sebanyak dua kali, namun kecewa tidak dilayan.
Bagaimanapun menerusi Insta Story di Instagram rasmi kelab peminat Amir bernama @kinger.fear menjelaskan Amir ketika itu dalam keadaan tidak sihat sekaligus memohon maaf bagi pihak pelakon itu.