“Memang Berani Mati, Tak Cukup Meniru, Curi Kertas Soalan Pula” - Projek: Anchor SPM Trending, Episod 3 Lagi Mind Blowing!
Persoalan mengapa watak Aaidaa lakonan Daiyan Trisha menangis dalam drama Projek: Anchor SPM akhirnya terjawab apabila berakhirnya episod tiga, malam semalam.
Menerusi episod berkenaan, Aaidaa dilihat banyak bergelut dengan isu keluarga terutamanya hubungan bersama bapanya.
Siapa sangka di sebalik keputusan cemerlang diraih Aaidaa, rupanya terpaksa memikul beban dan tekanan besar daripada keluarga.
Selain itu, penonton turut ‘dihidangkan’ dengan babak menyeramkan, hantu locker yang selama ini menjadi kisah lagenda pelajar Sekolah Tengku Isa Anuar (STIA).
Dalam episod itu, dapat dilihat kaitan hantu locker dengan pengetua sekolah STIA sendiri, Awang.
Ramai yang tidak senang duduk dengan babak berkenaan.
“Tak cukup dengan meniru, nak curi kertas soalan pula”
“Aizat sejenis berani mati”
“Savage gila sampai curi kertas exam”
“Berderau jantung aku diorang nak curi soalan exam. Tak senang duduk weh,” tulis beberapa netizen di Twitter.
Pada yang terlepas menonton semalam, anda boleh strim di platform Astro GO atau On Demand.
Sekadar info, Projek: Anchor SPM mengisahkan tentang sekumpulan pelajar tingkatan lima di Sekolah Tengku Isa Anuar (STIA) di Cameron Highlands, yang merupakan sebuah sekolah berasrama penuh berprestij.
Isu mula tercetus apabila Aizat lakonan Aedy Ashraf terdesak cuba mencari jalan mendapatkan keputusan 8A dalam peperiksaan percubaan SPM.
Aizat akhirnya berjaya bersekongkol dengan Aaidaa (Daiyan Trisha), dan menghasilkan sebuah pelan untuk membantu rakan- rakan seluruh tingkatan mereka cemerlang SPM melalui strategi meniru besar-besaran.
Drama ini turut dilakonkan oleh Nadhir Nasar (Hilmi), Chubb-E (Botol), Shasha Abedul (Jaja) serta nama-nama besar dalam industri seni tempatan seperti Adlin Aman Ramlie, Hasnul Rahmat Tony Eusoff dan Susan Lankester.