Penyanyi berbakat, Najwa Latif mengakui respon peminat terhadap single terbarunya, Jauh, lebih baik menerusi komen positif yang diterimanya.

Meskipun sambutannya lagu itu agak kurang kerana tidak banyak publisiti, dia tetap gembira dengan pandangan peminat kali ini.

"Mungkin peminat nampak kematangan saya dari segi lagu dan lirik. Dulu lagu saya lebih pada kisah cinta tapi kini saya sangat selesa dengan lirik yang lebih pada kehidupan untuk single baru ini," katanya kepada Astro Gempak.

Ujarnya, dia masih menerima tawaran mengadakan persembahan untuk pelbagai majlis meskipun kini semakin sibuk dengan kerjaya sebagai pensyarah.

Dia mengakui sangat seronok mengajar subjek bahasa Inggeris untuk pelajar peringkat asasi dan ijazah sarjana muda di UNITAR International University di Kelana Jaya, Selangor.

"Memang best gila bila jadi pensyarah. Walaupun saya nampak pemalu tapi depan pelajar saya jadi garang," katanya.

Najwa juga memberitahu dia akan muncul dengan lagu terbaru pada penghujung tahun ini.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak