Pelawak, Pelakon dan penyampai radio Issey Fazlisham bersyukur kerana dapat merealisasikan impian untuk membawa ‘isteri’ berbulan madu di Korea Selatan.

Issey ketika dihubungi Gempak berkata, niat tersebut telah ditanam sejak sekian lama, iaitu sebelum memiliki sesiapa pun dalam hidupnya.

“Sebenarnya memang saya dah lama plan nak bawa ‘isteri’ pergi honeymoon di Korea. Masa pasang angan-angan tu, saya belum ada sesiapa pun dalam hidup ini.

“Alhamdulillah, impian kesampaian dan saya harap Aimi gembira,” katanya.

Menurut Issey, bulan madunya ini tidak disertai anak-anak kerana beberapa faktor seperti cuaca dan musim cuti persekolahan yang hampir tamat.

“Awalnya saya nak bawa anak-anak sekali, tetapi selepas mengambil kira beberapa faktor seperti cuaca sejuk dan cuti sekolah pun nak habis kami tangguhkan dulu hasrat tersebut.

“Alah…kasi can lah mommy dan daddy berdua dulu. Lagi pun sekolah dah nak buka, anak-anak kena kumpul mood sebelum masuk sekolah,” katanya ketawa.

Tambah Issey dia juga dalam perancangan untuk membawa isteri dan anak-anak mengerjakan umrah, jika ada kesempatan nanti.

“Saya masih mencari tarikh yang sesuai untuk melaksanakannya. Semoga dipermudahkan urusan kami nanti,” ujarnya positif.

Mengulas mengenai cahaya mata, Issey tidak menolak sekiranya dikurniakan rezeki lebih awal, namun buat masa ini dia mahu memberi tumpuan kepada anak-anak Aimi terlebih dahulu.

“Saya tidak merancang, kalau ada rezeki Allah nak bagi saya terima. Tetapi buat masa sekarang ini saya mahu mengenali anak-anak Aimi dengan lebih rapat lagi.

“Doakan saya menjadi suami dan bapa yang baik ya semua,” katanya.

Selamat berbulan madu Issey dan Aimi! Yang penting Issey kongsi foto sweet dia dan isteri di Korea ekslusif dengan Gempak tau!

Issey atau nama sebenarnya Fazlisham Mat Hussin, sah bergelar suami kepada pengurus sumber manusia, Noor Aimi Mohamed Jamil, pada 22 Disember (Ahad) lalu.

Pasangan sama cantik sama padan itu dinikahkan Imam Masjid Mukim Kampung Pauh Panji, Tengku Mahmood Tengku Ibrahim.

Pada majlis itu, pengantin perempuan menerima mas kahwin senaskah al-Quran dan sebentuk cincin.

Majlis pernikahan bertemakan ‘English Garden’ dihadiri lebih 500 terdiri daripada ahli keluarga, kenalan dan rakan selebriti.