Ibu kepada pelakon Elfira Loy, Filzah Yusoff mengakui dia perlu mengongkong keempat-empat anaknya bagi mengelakkan mereka lupa diri.

Malah, jelas Filzah dia sendiri harus memaklumkan kepada anak-anaknya seandainya hatinya terguris.

"Memang kena kongkong, kalau tak kongkong nanti anak-anak lupa diri. Katang-kadang kita tak sedar, ekspektasi seorang ibu ini sangat tinggi.

"Sebab itulah, kalau merajuk pun saya kena maklumkan kepada mereka sebab mereka cenderung untuk buat tak faham.

"Setiap anak punyai perangai berbeza jadi cara teguran saya pun berbeza-beza. Hanya ibu sahaja tahu bagaimana anak-anaknya," katanya ketika diwawancara di rancangan Mingguan Wanita baru-baru ini.

Mengupas lebih lanjut topik Kerana Ibu Ku Turutkan, Elfira akui dia lebih selesa apabila ibunya memarahinya.

"Saya lagi suka kalau mak marah. Memanglah rasa tak suka dan makan hati ketika itu tetapi sebenarnya setiap teguran itu ada hikmah akhirnya. Keputusan mak adalah terbaik," tambah El.


Elfira dibesarkan bersama tiga beradik lain iaitu seorang abang Ahmad Ezzraa Loy dan dua adik Nurul Ezlisa Loy dan Ahmad Ezzrin Loy.

Episod itu dihoskan oleh Siti Elizad dan Amin Idris.

Bagi yang terlepas, rancangan bual bicara Mingguan Wanita sudah mula bersiaran sejak 8 Julai setiap hari Isnin hingga Jumaat pukul 11 pagi di saluran Astro Prima (105) dan Prima HD (121).