Laman Utama
Memang Love! Tampil 23 Pelakon Hebat, Erma Fatima Kembali Dengan Lockdown!
Pengarah, penulis skrip dan pelakon, Erma Fatima kembali dengan naskhah terbaharu berjudul Lockdown.
Menurut Erma, ilham drama ini terhasil selepas melihat keadaan sekeliling selepas Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) dilaksanakan.
“Saya amat berbesar hati dan gembira dengan komitmen penuh yang diberikan oleh setiap barisan pelakon untuk menjayakan naskhah Lockdown.
Advertisement
“Menghimpunkan kesemua nama-nama popular ini dalam sebuah drama bukan sesuatuyang mudah lebih-lebih lagi di kala pandemik namun pengalaman tersebut amat menyeronokkan buat saya.
“Keserasian yang terjalin di antara mereka sebagai pelakon juga memudahkan urusan pasukan produksi sewaktu di set penggambaran.
“Sebagai penulis skrip untuk drama ini, saya mendapat ilham selepas melihat keadaan sekeliling yang berlaku, melihat kesannya kepada kawan-kawan dan mungkin kita sendiri turut melaluinya.
“Kita semua sama-sama melalui proses PKP. Jadi kita tahu dan faham kesakitan tersebut selepas mengikuti berita-berita yang dilaporkan. Itu yang mendorong saya untuk menulis skrip tersebut.
“Saya juga percaya skrip yang baik ialah skrip yang jujur, perlu berlandas realiti, bukan fiksyen. Itu yang saya tengok depan mata saya. Setiap hari saya akan buat skrip.
“Satu hari apa yang perlu kami ‘shoot’, itulah yang akan siap. Itu kebiasaan saya. Drama Lockdown yang kami hasilkan ini cukup dekat dengan jiwa masyarakat kerana kita sama-sama mempunyai pengalaman dalam mengharungi PKP.
“Penceritaan setiap kisah yang dipersembahkan menggambarkan situasi sebenar tentang apa yang benar-benar berlaku dalam realiti kehidupan.
“Mungkin ada di antara penonton yang dapat ‘melihat’ diri mereka sendiri dalam cerita ini,” jelasnya.
Selain diilhamkan oleh Erma, Lockdown juga turut mendapat sentuhan Mohd Fazli Yahya yang memikul tanggungjawab selaku pengarah untuk drama ini.
Sementara itu menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Kamal, drama itu sangat bersesuaian dengan latar masa kini kerana ia diinspirasikan daripada realiti situasi sebenar yang berlaku kepada masyarakat sepanjang perlaksanaan PKP
“Dalam tempoh lebih setahun mematuhi PKP, pasti ramai yang terkesan dengan persekitaran norma baharu yang diperkenalkan. Pastinya, tahun 2020 dan 2021 adalah tahun yang cukup sukar untuk kita semua tempuhi bersama.
“Bersesuaian dengan latar masa seluruh Malaysia yang sedang menjalani PKP 3.0 pada waktu sekarang, kami dengan berbesar hati membawakan drama terbaharu Lockdown yang diinspirasikan daripada realiti situasi sebenar yang berlaku kepada masyarakat sepanjang perlaksanaan PKP.
“Kisah-kisah tersebut juga tidak asing kepada masyarakat kerana kisah sebegini sering dikongsikan di laman media sosial serta turut mendapat liputan meluas di media massa.
“Drama Lockdown padat dengan mesej bermakna jika dipandang daripada sudut yang positif. Sungguhpun sarat dengan pengisian berat, namun drama ini telah diolah dengan pendekatan yang santai dan menghiburkan.
“Oleh itu ia amat sesuai untuk ditonton oleh seisi keluarga. Syabas kami ucapkan kepada semua yang terlibat dengan pembikinan drama ini terutamanya kepada produksi U2 Media Sdn. Bhd. kerana berjaya merealisasikan drama ini dengan baik. Kami berharap drama ini akan diterima baik oleh para penonton,” ujarnya.
Lockdown dibintangi oleh 23 barisan pelakon handalan antaranya Zara Zya, Beto Kusyairy, Nabila Huda, Fahrin Ahmad, Sara Ali, Izzue Islam, Kaka Azraff, Syafiq Kyle, Mimi Lana, Amerul Affendi, Hasnul Rahmat, Jalil Hamid, Azizah Mahzan, Liza Abdullah, Balkisyh Semundur Khan dan ramai lagi.
Lockdown telah pun bersiaran dengan episod pertama semalam.
Jangan lupa saksikan Lockdown, setiap Isnin hingga Khamis, jam 11.00 malam secara eksklusif di Astro Ria (saluran 104).
Drama ini juga boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan platform On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Sinopsis:
Lockdown mengisahkan kehidupan masyarakat tempatan semasa PKP diumumkan. Pelbagai kisah menarik dan menghayat hati yang berlaku kepada sesetengah keluarga dan bersama-sama mengharungi suka duka semasa PKP.
Antaranya adalah tentang seorang anak yang terpaksa menjaga ibunya yang menghidap penyakit Alzheimer, pasangan yang berusaha untuk meneruskan perniagaan sepanjang PKP, kisah kelakar pasangan yang baru berkahwin dan terpaksa bekerja dari rumah, dan pasangan yang melalui cabaran hidup terutama sekali apabila suaminya mengalami kemalangan.
Must-Watch Video