“Memang Mak Mentua Yang Jaga Tapi…”- Elisya Sandha Tak Risau Pergi Kerja Bila Sheila Rusly Jaga Anak
Syafiqah Jalal
22/09/2022 21:58 MYT
22/09/2022 21:58 MYT
Pelakon Eisya Sandha akui kini sudah mula aktif kembali bekerja selepas tiga bulan melahirkan cahaya mata pertamanya Bunga Elhaq.
Menurut Elisya dia bertuah kerana anaknya dijaga dengan penuh kasih sayang oleh ibu mentua sendiri yang juga pelakon serta proudser, Sheila Rusly ketika dia keluar bekerja.
“Sebenarnya Bunga dan mama (Sheila) sangat rapat sampaikan mama pernah tak nak pergi set penggambaran sebab nak jaga Bunga di rumah.
“Bunga pula memang seorang bayi yang senang dijaga. Dia juga tak banyak meragam atau menangis apabila saya keluar bekerja.
“Namun, walaupun Bunga dan Mama rapat tapi kasih sayang itu berbeza bila dengan saya yang merupakan ibunya lagi-lagi yang masih menyusukannya,” katanya kepada Astro Gempak.
Adik kepada Fasha Sandha itu ditemui ketika majlis pratonton filem terbaharu lakonannya, Rasuk arahan pengarah popular, James Lee pada Selasa.
Pun begitu, Elisya yang juga isteri kepada Uzair Haqimy Azman memberitahu dia masih ada pembantu yang bersama-sama menjaga anaknya.
“Memang mak mentua yang jaga tapi saya masih ada pembantu dalam masa yang sama membantu dalam menguruskan Bunga.
“Cuma saya belum percaya hendak menyerahkan sepenuhnya kepada pembantu rumah dan lebih baik dalam masa yang sama dia dikelilingi keluarga yang dipercayai dapat menjaganya dengan baik,” jelasnya.
Dalam pada itu, meskipun dia terbuka menerima tawaran penggambaran seperti biasa namun masih mempertimbangkan jika ia melibatkannya perlu ke luar kawasan.
“Setakat ini, saya tiada masalah untuk kembali bekerja sebab saya memang tak suka duduk diam di rumah, saya lebih suka bekerja.
"Cuma kalau ada tawaran kerja di luar kawasan saya terpaksa tolak sebab Bunga masih menyusu badan, jadi agak sukar untuk berjauhan,” ujarnya.
Terdahulu, Elisya, 23, berkahwin dengan anak sulung Sheila iaitu Uzair Haqimy Azman pada 21 Ogos tahun lalu.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan diberi nama Bunga Elhaq pada 18 Jun lalu.
Rasuk yang diterbitkan Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas, Astro dan SixFun Media turut menampilkan barisan pelakon terkenal lain seperti Aliff Satar, Alicia Amin, Ayie Floor88, Atiq Azman, Abbas Mahmood dan Syazwan Razak.
Rasuk bakal menghantui pawagam di seluruh negara bermula 29 September ini.
***Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini.
Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!
***Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini.
Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!