Berita
"Memang Penat, Tapi Buat Sebab..." - Selain Berlakon, Raf Yaakob Dedah Buat 3 Kerja Lain..
Bagi mereka yang mengikuti perkembangan pelakon Raf Yaakob di Instagram pasti ada yang tertanya-tanya apakah yang dilakukan suami kepada aktres Mawar Rashid itu apabila dia sering pergi ke luar negara.
Bahkan, ada yang mungkin hairan melihatnya berkunjung dari satu negara ke satu negara yang lain dalam tempoh masa yang singkat.
Begitupun, jelas Raf, selain beraksi di hadapan kamera sebagai pelakon, adik kepada cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob itu sebenarnya melakukan tiga pekerjaan lain secara serentak.
"Ramai yang curious (tertanya-tanya) Raf sebenarnya kerja apa. Cerita sebelum MCO (Perintah Kawalan Pergerakan), Raf memang selalu travel ke luar negara.
"Raf buat tiga kerja dalam satu masa. Raf berkerja sebagai konsultan bisnes, pengimport kereta dan presiden Manchester United Fan Club (MUFC) Malaysia," jelasnya menerusi satu hantaran di Instagram.
Menurut Raf lagi, dia tidak menafikan adakalanya situasi itu membuatkan dirinya perasa penat, namun, dia gembira dan berasa puas apabila dapat melakukan satu-satu pekerjaan yang diminati.
"Biasanya Raf akan fly ke negara Timur Tengah (Oman & Emiriah Arab Bersatu) tengok site. Lepas tu ke United Kingdom (UK) pula carikan kereta untuk pelanggan.
"UK tu besar gila, kadang travel dari London ke Southampton dan sampai lah ke Leeds dalam hari yang sama. Kemudian ke Manchester pula berurusan dengan MUFC hal kelab peminat rasmi atau bawa penyokong kita tengok bola kat Old Trafford.
"Penat memang penat, tapi Raf buat sebab Raf seronok mengembara sambil mencari rejeki. Orang cakap kita akan bekerja tanpa kenal erti penat kerana kita suka apa yang kita lakukan," jelasnya.
Bagaimanapun, menurut pelakon drama TQ Captain itu, dia kini cuba mencari peluang untuk memberikan fokus kepada perniagaan dalam negara sahaja berikutan wabak Covid-19.
Saksikan drama lakonan Raf Yaakob di Astro pada telefon pintar anda melalui aplikasi Astro GO. Muat turun aplikasi Astro GO di Google Play dan Apple Store sekarang.
Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!
Must-Watch Video