Kurigan Masdo tiba tiba menjadi buah mulut dan cukup popular dalam kalangan penggemar muzik di Indonesia saat ini. Bagaikan mencetak sejarah, salah satu single yang mereka lahirkan sekitar dua tahun lalu kini meledak dan menjadi siulan peminat muzik tempatan.

Menerusi tinjauan Gempak, Masdo bukan sahaja menjadi tular di media sosial termasuk TikTok, media tempatan juga mula berminat menulis mengenai kugiran yang dibarisi empat anak muda berbakat besar ini.

Tidak hanya menulis kronologi dan kisah mereka, lirik lirik lagu Masdo termasuk Dinda yang sedang menjadi fenomena di Indonesia juga dikongsikan kepada pembaca.

Lebih menarik, Dinda kini menduduki tempat pertama dalam carta lagu Spotify Viral 50 di negara jiran itu.

Menurut vokalisnya Ali Sariah, mereka tidak menjangka lagu Dinda akan viral di Indonesia memandangkan negara itu mempunyai industri muzik yang besar.

"Sejujurnya kami tak pernah jangka lagu ini akan viral di sana, sebab kita tahu di Indonesia, mereka memiliki industri muzik yang besar.

"Jadi, untuk nak bersaing di sana agak luar biasa, apapun sudah menjadi rezeki lagu Dinda diterima baik oleh peminat muzik di negara jiran itu," katanya kepada Gempak.

Memandangkan nama Kugiran Masdo sudah mendapat perhatian di Indonesia, mereka sekumpulan mempunyai perancangan untuk berkolaborasi dengan artis Indie negara berkenaan.

"Kami berhasrat untuk berkolaborasi dengan artis Indie di Indonesia, tapi masih dalam peringkat perancangan setakat ini, kita tengok nanti bagaimana, Insya-Allah," katanya lagi.

Ali berkata, kumpulan mereka sering menerima kiriman mesej daripada peminat di Indonesia sejak kebelakangan ini.

"Kami terima banyak kiriman mesej daripada peminat atau pendengar di Indonesia tentang lagu Dinda.

"Pada masa sama, mereka juga dengar lagu-lagu kami yang lain di platform digital, kami sangat bersyukur kerana mereka memberi sokongan kepada kumpulan dari Malaysia.

"Saya mewakili Kugiran Masdo ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pendengar dan peminat kami di Malaysia dan Indonesia yang sentiasa menyokong kami, semoga anda semua sihat sejahtera dan Insya-Allah bila keadaan kembali pulih, kami boleh buat persembahan dan berjumpa anda suatu hari nanti," katanya.

Kugiran Masdo yang dianggotai Ali Sariah bersama Putuceri, Azham Ahmad dan Amawi memperjuangkan muzik Pop dan Indie.

Dinda dilancarkan dua tahun lalu, tontonan muzik videonya di YouTube kini mencecah lebih 6 juta.