Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

"Memang Saya Akan Gila!" - Berlakon Filem M4M4 Buat Nabila Huda Bimbang Keselamatan Keisha Laila

Zulaikha Yusof 03/02/2020 | 01:48 MYT
Aktres Nabila Huda, 35, akui wataknya sebagai Aini dalam filem M4M4 memberi kesan mendalam terhadap dirinya.
Kata Nabila atau lebih mesra dipanggil Abil, dia pernah terfikir sekiranya malapetaka ini terjadi terhadap anak perempuannya, Keisha Laila.
“Sepanjang melakonkan watak Aini dalam filem ini, saya terbawa-bawa dengan karakter ini hingga ke rumah.
"Tingkah laku saya jadi berbeza... Ada ketika, saya jadi marah-marah sehingga ditegur suami.
"Masa 'shoot' cerita ni terus saya fikir apa akan saya lakukan sekiranya perkara seperti ini berlaku kepada saya.
"Saya sendiri merupakan ibu kepada seorang anak perempuan. Apa jadi kalau ia melibatkan Keisha? Apa tindakan saya? Mesti saya akan gila!" katanya kepada Gempak.
Abil ditemui ketika majlis tayangan filem M4M4 di Mm Cineplexes, e@Curve, Mutiara Damansara.
Dalam pada itu, Pelakon Wanita Terbaik ASK 2019 berkata walapun perasaan takut itu ada namun dia belum sampai tahap untuk mengongkong anak tunggalnya itu.
"Alhamdulillah Malaysia masih negara selamat. Malapetaka atau benda buruk itu akan terjadi tanpa dijangka, mungkin ia sudah tertulis. Cuma kita perlu berhati-hati.
"Tapi janganlah keterlaluan sangat nanti anak kita pula yang rimas. Cuma saya akan memerhati dia daripada jauh sebagai langkah berjaga-jaga.
“Selalunya, jika kami berjalan bersama, saya akan berpesan supaya menjaga diri dan tidak berada terlalu jauh daripada saya.
“Saya ingatkan Keisha supaya menjerit sekuat hati jika ada sesiapa yang tidak dikenali cuba memegangnya,” katanya lagi.
Selain Abil, filem M4M4 ini turut dibintangi Bella Dowanna, Kodi Rasheed, Faizal Hussein, Eyra Hazali, Niezam Zaidi, Ungku Hariz, Izzy Reef dan ramai lagi.
Filem terbitan Da Motion Pictures ini akan ditayangkan mulai 6 Februari ini di 107 pawagam seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei.
#Nabila Huda #M4M4
;