Bukannya dia tidak pernah melakonkan watak komedi tetapi pelakon cantik Riena Diana mengakui berada di pentas Sepahtu Reunion Live 2020 sangat jauh bezanya dengan berlakon drama.

Pelakon dan juga pengacara Gempak TV ini mengakui dia gugup dan gementar apabila berlakon secara spontan bersama anggota-anggota Sepahtu.

"Ini kali pertama saya buat Sepahtu. Dah beberapa kali dijemput dan Alhamdulillah kali ketiga ni saya dapat buat. Memang saya nak buat sangat Sepahtu Reunion sebab saya tengok mereka dari sekolah lagi.



"Bila dapat buat ni rasa sangat berbesar hati walaupun nervous sangat-sangat. saya rasa saya tak lawak tapi bila dah masuk dengan mereka dan dapat vibe rasa sangat best," kata Riena ketika ditemui Gempak selepas tamat siaran langsung Sepahtu Reunion Live 2020.

Ditanya sama ada dia memang tidak boleh menyanyi atau sekadar dibuat-buat, Riena mengakui dia memang tidak pandai menyanyi.

"Memang saya tak pandai menyanyi tapi ketika menyanyi tadi memang saya saja exaggerate sikitlah. Memang awal-awal saya beritahu mereka saya tak boleh menyanyi tapi masa latihan mereka nak saya berduet dengan Shuib.



"Masa tu terfikir alamak Shuib ni menyanyi boleh tahan jugak. Saya ni tempo, note, key semua tak tahu. Masa latihan tadi boleh tahan jugaklah, tapi bila dah live saya memang rasa nervous sangat, lantaklah apa nak jadi saya menjerit dan cuba berseronok. Tapi ya, saya memang tak boleh menyanyi," kata Riena sambil ketawa.

Tambah Riena, dia sangat seronok dapat bersama Sepahtu dan jika diberi peluang lagi dia ingin memastikan agar dia melakukan dengan lebik baik lagi.

"Tapi saya puas sangat-sangat sebab saya tak pernah buat live di pentas lawak seperti ni, lagi-lagi dengan mereka yang memang gila-gila. Rasa seronok sangat.



"Memang nak sangat buat lagi. Lagipun saya tengok ramai juga yang buat lebih daripada sekali seperti Uqasha Senrose, Ramona Zam Zam dan lain-lain. Jadi kalau mereka rasa selesa dengan saya ataupun nak beri saya peluang, sudah tentu saya nak mereka jemput saya lagi," kata Riena mengakhiri bicara bersama Gempak.

Sepahtu Reunion Live 2020 boleh anda saksikan secara langsung setiap hari Khamis, jam 9:00 malam di Astro Warna (127) dan Warna HD (107). Anda juga boleh strim On Demand menerusi aplikasi Astro GO, Astro PVR Box atau Ultra Box. Ketahui lebih lanjut di sini.