"Memang Saya Target Nak Bersanding Semula Tahun Lalu, Tapi..." - Fazley Yaakob

Kamaruddin Razal
Julai 30, 2018 15:20 MYT
Penyanyi dan cef selebriti terkenal, Datuk Fazley Yaakob mendedahkan dia sudah menyimpan hasrat untuk bersanding semula dengan isterinya, Datin Azrene Ahmad semenjak tahun lalu.
"Sejujurnya, memang saya letakkan 'target' nak bersanding semula tahun lalu. Tetapi ia tidak menjadi kenyatan kerana ketika itu, isteri saya melahirkan anak keempat kami pada Oktober tahun lalu.
"Bapa saya juga baru setahun meninggal dunia ketika itu, jadi saya dan isteri tangguhkan dahulu hasrat kami. Insya-Allah, impian untuk bersanding semula akan tercapai tahun ini memandangkan anak bongsu kami, Alayna Selma sudah mencecah usia setahun.
"Tahun ini merupakan masa terbaik untuk kami raikan perkahwinan kami dengan cara sederhana, untuk menjamu keluarga dan rakan-rakan," kata Fazley.
Mendirikan rumah tangga pada 2007, Fazley dan Azrene dikurniakan empat cahaya mata, Ahmad Fariedz Shah, Ahmad Fieradz Shah, Ahmad Firudz Shah dan Alayna Selma.
Fazley ditemui di majlis pelancaran restoran Mamanda Kuala Lumpur di Tournament Players Club (TPC), Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sudah lebih setahun beroperasi, restoran tersebut menawarkan keistimewaan untuk pengunjung yang gemarkan hidangan bercirikan Melayu Nusantara.
"Selepas mendapat respon yang baik di Singapura, restoran ini dibuka di Kuala Lumpur. Alhamdulillah, lebih setahun beroperasi, restoran ini mendapat maklum balas positif pengunjung.
"Sebagai cef eksekutif, saya sentiasa memberikan pembaharuan kepada menu yang disediakan. Apa yang penting, semua masakan bercirikan Melayu Nusantara dan hidangan utama akan disajikan dalam dulang.
"Buat masa ini, pekerja di restoran SukaSucre milik saya akan bergilir-gilir bertugas di sini," katanya lagi.
Teks: Kamaruddin Razal
#Penyanyi #Penyanyi #Fazley Yaakob