Hiburan
"Memang Sukar Asingkan Diri. Kita Kena Kuat Secara Psikologi, Fizikal, Mental" - Dr. Sheikh Muszaphar Kongsi 10 Tip
Kita bakal memasuki Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga yang bermula 15 April hingga 28 April ini.
Mungkin untuk mereka yang tinggal bersama keluarga, keadaannya tidaklah begitu sunyi, namun buat mereka yang tinggal bersendirian, mungkin keadaannya berbeza dan agak sukar.
Dalam satu entri di Instagram miliknya, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar berkongsi sepuluh tip yang mungkin berguna untuk kita semua.
"Ada masa kita lupa hari apakah hari ini. Setiap hari seolah-olah seperti hari lainnya dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bukan mudah untuk mengasingkan diri. Itu bukan sifat semula jadi kita. Jadi kita perlu kuat secara psikologi, mental dan fizikal untuk menghadapi semua cabaran ini," tulis Dr. Sheikh Muszaphar dalam Bahasa Inggeris.
Untuk mengurangkan rasa tekanan yang mungkin dihadapi, Dr. Sheikh Muszaphar berkongsi sepuluh tip yang boleh diguna pakai.
Ini ada beberapa tip untuk anda gunakan:
1. Penuhi masa anda
Senaraikan perkara yang membuatkan anda sibuk dan terhibur. Perkara-perkara yang anda ingin lakukan tetapi tidak punya masa sebelum ini.
2. Bersama dengan orang tersayang
Saling sokong menyokong dan bantu-membantu pada saat-saat begini.
3. Teruskan dengan rutin harian anda
Jangan hanya berbaring di rumah dan tidak berbuat apa-apa. Bangun awal, mandi, sarapan pagi, seperti hari-hari bekerja anda.
4. Berkomunikasi dengan lainnya
Mengetahui keadaan keluarga, teman-teman dan orang tersayang berada dalam keadaan baik sangat membantu.
5. Belajar sesuatu yang baru
Masak resepi baru, selesaikan teka teki, betulkan apa yang rosak di rumah - apa saja perkara yang dapat membuatkan anda lupa terpaksa berkurung di rumah.
6. Jadi Kreatif
Untuk anda yang ada anak-anak di rumah, inilah masanya untuk menguatkan ikatan keluarga dengan melakukan pelbagai perkara bersama.
7. Baca buku
Pastinya ada buku atau novel di rumah yang anda sudah lama ingin baca tapi tidak mempunyai masa.
8. Kekal sihat
Teruskan melakukan senaman walaupun hanya 20 minit sehari. Cari ruang khusus untuk melakukannya.
9. Makan dengan betul
Cuba elakkan daripada memakan jajan. Kebosanan akan membuatkan anda makan tidak berhenti.
10. Dapatkan bantuan
Pengasingan diri untuk tempoh yang lama boleh menyebabkan depresi. Sentiasa hubungi keluarga dan orang tersayang, dan luahkan apa yang anda rasa.
Tambah Dr. Sheikh Muszaphar lagi, PKP ini mungkin dilanjutkan untuk tempoh yang lebih panjang, dan dia mengharapkan agar semua untuk terus kuat dan terus berada dalam keadaan selamat.