Iklan syarikat penerbangan terkenal Emirates yang memaparkan seorang wanita berdiri di puncak menara Burj Khalifa, Dubai tular di media sosial.

Ketika iklan itu dikongsi menerusi akaun Instagram Emirates lima hari lalu, ramai yang tertanya-tanya sama ada proses penggambaran dijalankan di puncak menara berkenaan atau sekadar menggunakan teknik suntingan.

A post shared by Emirates (@emirates)


Segala persoalan terjawab apabila syarikat penerbangan berpangkalan di Dubai itu memuat naik video pembikinan (BTS), membuktikan wanita tersebut benar-benar berdiri di puncak Burj Khalifa dengan prosedur keselamatan yang ketat.

"Benar atau palsu? Di sini, kami akan menjawab pertanyaan ramai.

"Beginilah cara bagaimana kami naik ke puncak menara yang tertinggi di dunia, Burj Khalifa," tulis di ruangan kapsyen.

Sementara dalam video tersebut, pihak Emirates mendedahkan tentang proses penggambaran dengan lebih terperinci.

"Burj Khalifa adalah bangunan yang tertinggi di dunia dengan ketinggian 828 meter, menjalani penggambaran di puncak menara ini tentunya memerlukan perancangan teliti dan protokol keselamatan yang ketat.

"Kami mengambil masa lebih sejam untuk memanjat dari tingkat 160 ke puncak demi menghasilkan salah satu iklan yang dirakamkan di tempat paling tinggi," jelasnya.

A post shared by Emirates (@emirates)


Menerusi carian Gempak, wanita yang ditampilkan dalam iklan tersebut adalah Nicole Smith-Ludvik, seorang jurulatih luncur udara (skydiving).

Nicole memakai uniform Emirates dan memegang serta menukar beberapa mesej pada kad putih sebelum kamera menunjukkan dia sedang berdiri di puncak Burj Khalifa.

Kredit Foto: Instagram Emirates