Laman Utama
Menang Anugerah Di Luar Negara, Shiha Zikir Terima Ucapan Tahniah Daripada Artis & Komposer Los Angeles!
Penyanyi berbakat, Shiha Zikir telah memenangi kategori Best of Asian - Pop dalam acara InterContinental Music Awards (ICMA) 2021 menerusi lagunya, AEWO baru-baru ini.
Akui terkejut memenangi kategori tersebut, Shiha menyifatkannya sebagai satu rezeki dan gembira kerana lagu dari Malaysia telah diperdengarkan kepada barisan juri hebat dalam anugerah yang berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat itu.
"Ketika dapat tahu lagu ini menang, saya sangat terkejut kerana ia dipertandingkan untuk kategori seluruh Asian. Saya tidak mahu berharap sangat pada mulanya kerana risau tak dapat apa-apa.
"Betul lah orang cakap, kalau ada rezeki tak kemana, dulu saya sudah kecewa kerana jumlah tontonan muzik video AEWO menurun secara tiba-tiba di YouTube, tapi Alhamdulillah, Allah bagi saya rasa kemanisan di anugerah ini.
"Sewaktu mendapat tahu lagu ini dicalonkan pun saya sudah gembira kerana sekurang-kurangnya, lagu dari Malaysia diperdengarkan kepada barisan juri yang bukan calang-calang," katanya kepada Gempak.
Susulan kemenangan tersebut, Shiha ada menerima mesej yang dihantar oleh artis dan komposer di Los Angeles mengucapkan tahniah.
"Saya gembira bertanding di negara-negara luar seperti ini sebab saya memang target untuk melebarkan karier ke negara lain.
"Tambahan lagi, saya ada menerima mesej (DM) dari artis dan komposer dari Los Angeles mengucapkan tahniah, ia membuatkan saya sangat gembira.
"Terima kasih kepada Ezra Kong kerana buat lagu yang dapat diterima di negara luar dan terima kasih tak terhingga kepada label Todak Muzik kerana menyertai anugerah ini," katanya lagi.
Shiha menerima berita gembira kemenangan lagu yang turut menampilkan Noki K-Clique itu pada Jumaat.
ICMA mula diadakan pada tahun 2011 dan dikenali sebagai acara yang mengangkat kepelbagaian dan perpaduan muzik secara global.
Must-Watch Video