Kemenangan dua murid tahun lima dari Sekolah Kebangsaan (SK) Temong, Serian yang mengungguli anugerah filem terbaik di Festival de Cinema Escola de Alvorada (FECEA), Brazil mendapat perhatian Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang menghadiahkan insentif berjumlah RM25,000 kepada mereka.

Menurut Ketua Menteri Sarawak itu, pencapaian dua anak muda, Macgres Sawet dan Nabiatul Dania Zulfiqa menerusi filem berjudul 'Batuh Bijanji' ini amat membanggakan pada usia yang begitu muda.

“Apabila saya melihat kejayaan ini, saya merasakan anak kita di peringkat rendah sudah dapat menguasai kemahiran animasi digital. Lebih menarik, mereka dari pedalaman," katanya.

Tambah beliau, susulan kejayaan tersebut beliau ingin melihat lebih ramai lagi anak muda di luar sana menceburi bidang yang sama.

Katanya lagi, pendidikan teknologi juga mampu memberi pemahaman yang lebih luas dalam aspek pembelajaran lebih-lebih lagi dalam subjek yang berkait rapat seperti Matematik dan Sains.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan insentif kepada Sekolah Kebangsaan SK Temong, Serian di Pejabat Ketua Menteri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di Kuching pada Rabu.

Terdahulu, dua murid berusia 11 tahun dari sekolah berkenaan mengharumkan nama negara apabila karya filem pendek bertajuk ‘Batuh Bijanji’ yang membawa maksud batu perjanjian diumumkan sebagai juara bagi kategori filem terbaik Festival de Cinema Escola de Alvorada (FECEA), Brazil.

Filem animasi berdurasi 34 saat itu turut tercalon dalam kategori Animasi Terbaik bagi peringkat sama.
Batuh Bijanji membawa maksud batu perjanjian dalam Bahasa Bidayuh Serian dan menceritakan kisah dua sahabat.

Sementara itu, bagi guru pembimbing kepada Macgres dan Nabiatul, Mohd Reduan Patah berkata pencapaian kedua-dua murid ini amat membanggakan, sekali gus membuktikan pelajar luar bandar juga mempunyai iltizam yang tinggi untuk berjaya seperti orang lain.

“Saya terkejut pada mulanya dan rakan sekerja saya memberitahu tentang perkara ini. Saya membantu mereka untuk menghantar penyertaan ke pertandingan tersebut.

“Pada tahun lepas juga kami ada menyertainya tetapi hanya mendapat tempat 11 teratas sahaja,” ujarnya.
Namun, setiap kejayaan pasti ada rintangannya. Kata guru tersebut, cabaran utama yang dihadapi mereka dalam penghasilan animasi ini adalah masalah capaian internet.

“Di sekolah kami ada kawasan yang ada line dan ada sesetengah kawasan tiada liputan. Selain itu, anak murid saya juga ada yang terpaksa meminjam gajet daripada ibu bapa untuk menjalani kelas dalam talian,” kata cikgu Reduan.

Selain dia, dua murid berkenaan turut dibimbing Cikgu Wan Zulfadli Ad-Dinne Wan Azmi.

“Saya merasakan anak didik saya mempunyai potensi dan bakat terpendam.

“Sebelum bermulanya projek ini, saya amat kagum dengan kemahiran mereka menggunakan perisian suntingan dikenali sebagai Warkop. Mereka seperti sudah biasa dengan perisian tersebut,” kongsi guru ini kepada Astro AWANI.

Sumber: Astro Awani