Laman Utama
Menang Mega Spontan 2023, Mamat Tetap Kekalkan Nama ‘Sepah’ - “Masa Berpecah Itu Ada La Terfikir Nak…”
Menjadi juara Mega Spontan 2023 bersama kumpulannya Manjakelat, pelawak Mamat tetap dengan pendiriannnya mahu mengekalkan namanya sebagai ‘Mamat Sepah’.
Pernah terfikir untuk mengubahnya ketika 12 tahun lalu, namun Mamat berkata nama ‘Sepah’ itu yang membawa dirinya masuk dalam industri.
“Untuk menukar nama itu tidak mungkin… sebab Sepah itu nama yang ‘luck’ untuk saya sendiri. Jadi saya tetap akan kekal dengan nama Mamat Sepah sebab orang kenal saya dari dulu dengan itu.
“Lagipun ini (Mega Spontan) hanya satu program. Tapi kalau orang nak panggil saya apa-apa pun saya okay. Apa-apa pun saya tetap dengan pendirian tidak akan menukar.
“Itu yang nama pertama yang saya dapat ketika masuk industri, jadi saya akan kekal dengan nama itu. Masa berpecah itu ada la terfikir nak tukar tapi 12 tahun lepas.
“Tapi buat apa… sia-sia saja. Kawan saya pun cakap tak payah sebab dah memang nama saya. Lagipun ada nama Sepahtu, jadi saya tak menganggu pun nama Sepah,” kata Mamat kepada Gempak.
Mamat ditemui selepas memenangi program Mega Spontan 2023 yang berlangsung di Dewan UPM, Bangi, Baru-baru ini.
Dalam pada itu, Mamat juga menganggap nama ‘Sepah’ yang dicipta untuk kumpulannya dahulu bersama pelawak Shuib dan Jep itu membawa banyak kenangan manis.
“Nama Sepah itu memberi kenangan yang manis untuk saya walaupun ada pahitnya. Tapi walaupun hanya Sepah, dia akan manis sampai bila-bila. Nama itu yang saya cipta untuk kumpulan saya.
“Saya berjaya dengan nama itu juga dan bila di atas pentas ini pun nama saya masih sama. Dekat media sosial pun saya masih kekal dengan nama itu,” ujarnya lagi.
Must-Watch Video