Menang RM100,000, Wan & Mary Juara Gen F 2018

Amri Hassan
Mei 18, 2018 04:24 MYT
Pereka duo yang menggunakan label Wan & Mary dinobatkan sebagai juara program pencarian pereka fesyen tempatan Gen F musim pertama.
Wan & Mary milik Hazzerwan Lee, 28, dan Mariam Musa, 28, berjaya menewaskan 9 jenama fesyen lain untuk merebut hadiah wang tunai RM100,000.
"Alhamdullilah syukur, di bulan yang mulia ini, Wan & Mary dinobatkan sebagai juara GenF musim pertama," ucap pereka duo Wan & Mary.
Serentak dengan kemenangan itu, Wan & Mary berpeluang untuk menghasilkan koleksi kapsul tajaan FashionValet.
Pusingan akhir menyaksikan Wan & Mary berentap dengan jenama fesyen popular Seth & Luna sebelum diumumkan sebagai juara pada Rabu lalu.
Selain itu, lapan jenama fesyen lain yang turut berentap dalam Gen F 2018 ialah Kahou, Jubahsouq, Lolo, Ridzuan Alias, HN, Larf, Calaqisha dan Clothesology.
Gen F dihoskan oleh Hisham Hamid dan melantik pengarah urusan FashionValet, Vivy Yusof serta pereka fesyen ternama Datuk Rizalman Ibrahim sebagai juri tetap setiap minggu.
Gen F telah bersiaran setiap hari Rabu pukul 11 malam menerusi Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @wan_and_mary
#Juara #Gen F #Wan & Mary