Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Menang Saman Fitnah RM1 Juta, Aqil Zulkiflee Beri Amaran - "Kalau Terjadi Lagi..."

Syafiqah Jalal
03/06/2023 12:36 MYT
Pempengaruh dan Youtuber terkenal, Aqil Zulkiflee bersyukur apabila memenangi tuntutan saman fitnahya terhadap defendan, Siti Solehah Mohamed Ali yang telah memfitnahnya sebelum ini.

Keputusan itu dibuat oleh hakim di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh Melaka, pada Khamis.

Aqil berharap agar tiada lagi pihak yang membuat fitnah dengan niat menjatuhkan reputasinya.

"Alhamdulilah selepas setahun setengah kes berlangsung, Aqil menang kes saman fitnah.

"Semoga tiada lagi orang yang sesuka hati menabur fitnah untuk menjatuhkan reputasi dan perniagaan Aqil," katanya.

Aqil berkongsi perkara berkenaan di akaun Instagram miliknya.

Menerusi hantaran yang sama dia memuat naik fotonya bersama peguam yang mewakilinya. Nurul Hafidzah Hassan.

Saman fitnah tersebut difailkan Aqil, terhadap defendan yang menggunakan nama ‘Auntie Soleha’ di aplikasi Facebook, pada 14 Februari tahun lalu atas dakwaan menerbitkan kenyataan-kenyataan fitnah berkaitan karakter dan keperibadian Aqil yang disiarkan oleh saluran media sosial Tik Tok, You Tube dan Facebook.

Aqil telah menuntut RM1 juta gantirugi dan dalam masa yang sama menuntut agar mahkamah memberikan injunksi untuk menghentikan defendan menyebarkan pembohongan, ganti rugi keterlaluan atau ganti rugi teladan, jumlah kerugian am ditaksirkan mahkamah, gantirugi spesifik, permohonan maaf, kos tindakan dan lain-lain relif yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

Aqil juga turut menegaskan tindakan undang-undang akan diambil jika ia berulang lagi.

"Kalau terjadi lagi tindakan undang-undang akan diambil dengan segera," tegasnya.

Terdahulu difahamkan Auntie Soleha mengarang kenyataan berbaur fitnah dan diterbitkan di Facebook pada 24 Disember tahun lalu dan di TikTok pada 7 Januari lepas.

Dia mendakwa Aqil seorang figura awam, penggiat maya kreatif dan usahawan yang menipu, tidak patut disokong oleh masyarakat, ingin cepat kaya dengan cara yang salah, terdesak, perasan dirinya terkenal, ingin menjadi terkenal dengan cara yang salah, hamba kepada wang dan berperangai teruk.
;