Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

“Menangis Kena Naik Ambulan” - Anak Sepupu Ani Mayuni Positif COVID-19, Jangkit Daripada Staff Hospital

Azwa Rahman
16/11/2020 07:20 MYT
Penyanyi dan pelakon Ani Mayuni meluahkan rasa sebak apabila anak sepupunya yang berusia empat tahun positif COVID-19.

Menerusi laman sosial Facebook, Ani berkongsi kanak-kanak tersebut dijangkiti virus berkenaan selepas menjalani pembedahan membuang bisul di sebuah hospital.

“Anak sepupu saya yang baru berusia empat tahun, positif Covid-19. Harap adik sepupu saya kuat menghadapi ujian ni.

“Nak tau tak macam mana dia boleh dapat benda ni? Pada asalnya anak buah saya kena bisul. Mak dia bawa pergi hospital untuk pembedahan.

“Selesai pembedahan itu, entah macam mana selang beberapa hari dapat tahu doktor yang buat pembedahan anak buah saya itu positif COVID-19,” tulisnya.

Namun setelah diselidik, anak sepupunya itu bukan dijangkiti COVID-19 daripada doktor tersebut tetapi mendapatnya daripada seorang pembantu perubatan di dalam bilik pembedahan.

Menurut Ani lagi, setelah disahkan positif, anak sepupunya itu dijemput dengan ambulan dari rumah untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Disebabkan anak sepupunya masih kecil, ibunya turut sama menaiki ambulan tersebut untuk mengiringinya ke hospital.

“Budak empat tahun, ambulan datang rumah nak bawa anak kecil yang tak tahu apa-apa pergi hospital. Nak berpisah dengan mak dan bapa, mestilah menangis.

“Pengorbanan seorang ibu. Adik sepupu saya berkorban naik ambulan itu demi anak.

“Kalau saya di tempat dia pun, saya juga akan buat perkara yang sama,” luahnya.

Banyak menerima kata-kata semangat dan positif daripada rakan seperjuangan dan pengikutnya, Ani memohon jasa baik orang ramai untuk mendoakan anak sepupunya itu sembuh dan kembali sihat seperti biasa.

#Ani Mayuni #Keluarga #COVID-19