BERITA

Menantu Kahwini Ibu Mentua Selepas Terjebak Hubungan Terlarang

Gempak 24/05/2025 | 13:55 MYT

Seorang lelaki di Sulawesi Selatan mencetuskan kekecohan dalam kalangan penduduk tempatan apabila bertindak mengahwini ibu mentuanya selepas wanita itu hamil hasil hubungan sulit mereka.

Lelaki terbabit yang dikenali sebagai BR, dipercayai menjalinkan hubungan terlarang dengan ibu mentuanya, FR, 36, di kediaman mereka di Taccampu, Desa Abbanuange, Kecamatan Lilirilau, Kabupaten Soppeng.

Perbuatan itu mengakibatkan FR hamil dan kini telah selamat melahirkan bayi hasil hubungan tersebut.

Ketua Desa Abbanuange, Buhari mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan kedua-dua pihak keluarga telah berdamai selepas satu pertemuan dan persetujuan dicapai.

“Memang benar menantu menghamilkan ibu mentuanya tapi kes ini sudah lama berlaku dan kedua-dua pihak sudah berdamai selepas anak pasangan itu dilahirkan,” katanya ketika dihubungi media tempatan, pada Rabu.

Difahamkan, BR terlebih dahulu menceraikan isterinya, AL, 21, sebelum berkahwin dengan ibu mentuanya itu mengikut syarat yang ditetapkan keluarga perempuan.

“Dia telah menceraikan isterinya dan perkara ini telah diselesaikan secara kekeluargaan. Keadaan juga sudah reda,” kata Buhari lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Soppeng, AKBP Aditya Pradana mengesahkan bahawa kes tersebut melibatkan hubungan antara BR dan FR yang merupakan janda selepas kematian suaminya.

Menurutnya, pihaknya bersama Unit Siasatan Jenayah dari Balai Polis Lilirilau telah menjalankan proses siasatan teliti dan mendapati keluarga pihak wanita tidak mahu memperbesarkan isu tersebut.

“Keluarga wanita menerima kejadian ini sebagai satu musibah dengan syarat menantu berkenaan mesti menceraikan isterinya dan mengahwini ibu mentuanya,” jelasnya.

Kes berkenaan tular di media sosial sejak beberapa hari lalu dan mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-rata terkejut dengan keputusan lelaki terbabit serta sikap terbuka keluarga untuk menyelesaikannya secara damai.

Sumber: Sinar Harian

#Kahwin #Menantu #Ibu Mentua #Hubungan Terlarang