HIBURAN
Mencemaskan! Yazmin Aziz & Keluarga Terkandas Di Pertengahan ‘Ride’ - “Kami Ingat Ia Sebahagian Daripada…”
Penyanyi dan pelakon, Yazmin Aziz berdepan detik cemas bersama keluarganya apabila sebuah permainan yang dinaiki tiba-tiba terhenti di pertengahan perjalanan.
Menurut Yazmin, pada awalnya mereka menyangka kejadian itu adalah sebahagian daripada elemen kejutan permainan tersebut namun keadaan menjadi semakin membimbangkan apabila permainan langsung tidak bergerak.
"Semasa pertengahan permainan itu tiba-tiba ia berhenti, kami ingatkan ia adalah sebahagian daripada permainan untuk elemen suspense. Tapi selepas beberapa kami sedar benda tu betul-betul berhenti.
"Biasanya kita tidak akan diberitahu apa yang perlu kita buat jika ada kecemasan, nak cari panic button pun tak jumpa jadi kami cuba kuatkan suara dan sama-sama minta tolong," katanya ketika dihubungi Gempak.
Tambah Yazmin, ibunya turut berusaha menghubungi pihak pengurusan pusat peranginan berkenaan namun usaha itu gagal apabila panggilan hanya disambungkan ke talian tempahan.
Yazmin turut memaklumkan mereka terkandas selama kira-kira 15 hingga 20 minit dan cuba untuk kekal tenang dengan berjenaka sesama sendiri.
"Ibu saya cuba hubungi pusat peranginan tersebut tapi tidak berjaya, talian umum mereka pun masuk reservations sahaja. Jadi dia cuba dapatkan bantuan daripada pihak bomba.
"Kami sangkut lebih kurang 15 hingga 20 minit dekat situ. Pada awalnya memang takut tapi kami semua cuba menenangkan diri untuk tidak panik, lebih lega bila kami dah betul-betul berjaya buat panggilan untuk dapatkan bantuan," ujarnya.
Terdahulu, Yazmin berkongsi di media sosial videonya bersama keluarga terkandas ketika bermain permainan di taman tema di sebuah pusat peranginan terkenal.