Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

Mengadu Sesak Nafas, Yazit Dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur

Kamaruddin Razal 03/09/2019 | 06:43 MYT
Pemain drum terkenal, Yazit Ahmad dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas mengadu sesak nafas awal pagi Selasa, lapor Astro Awani.
Menurut anaknya, Sheeqa, bapanya sukar bernafas sebaik pulang ke rumah selepas menunaikan solat Subuh di masjid.
Kata Sheeqa, doktor yang merawat mengesahkan terdapat jangkitan kuman pada bahagian paru-paru ayahnya dan meletakkannya di zon merah.
Bagaimanapun, Sheeqa berkata, keadaan ayahnya ketika ini stabil namun doktor terpaksa menidurkannya bagi membolehkannya berehat.
"Doktor sudah buat pemeriksaan dan mendapati ada jangkitan pada paru-paru ayah. Namun begitu, keadaan ayah tidak membimbangkan sangat dan stabil.
"Ayah tidak koma namun doktor terpaksa merehatkannya buat masa ini," katanya.
Sebelum ini pemain drum kumpulan rock terkemuka Search itu disahkan mengidapi penyakit buah pinggang yang kronik sejak beberapa tahun lalu.
Sejak berita itu tersebar pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan kepada pemain drum tersohor itu.
Penderitaan yang dihadapi bekas pemain drum kumpulan rock ternama tanah air, Search itu juga mendapat perhatian Presidn PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim
Pada 12 Mei lalu, Ahli Parlimen Port Dickson itu mengunjungi Yazit di kediamannya dan menyampaikan sumbangan peribadi bagi meringankan beban yang ditanggung pemuzik itu.
Sumber: Astro Awani
#Search #Yazit
;