Laman Utama
Mengaku Bersalah Atas 5 Pertuduhan, Instafamous & Usahawan Kosmetik Fatin Amiera Didenda Sehingga...
Instafamous yang juga usahawan kosmetik didenda RM10,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan memiliki kosmetik tidak bernotifikasi, dua tahun lalu.
Memetik laporan Harian Metro, Fatin Amiera Zainal Abidin selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret M Barath.
Bagi semua pertuduhan itu, Fatin Amiera, 32, yang mewakili syarikat Amyera Beauty didakwa memiliki lima produk kosmetik yang tidak bernotifikasi iaitu Amyera Beauty Flawless Day Cream, Amyera Beauty My Secret Cleanser, Amyera Beauty Flawless Night Cream, Flawless Booster Cream serta Flawless Acne and White Black Head Cream.
Ibu kepada seorang anak itu didakwa melakukan kesalahan itu di premis miliknya di Amyera Beauty, Neo Damansara, Jalan PJU 8/1 Bandar Damansara Perdana, Petaling Jaya di sini, pada jam 11.30 pagi, 19 Februari 2019.
Bagi kesalahan berkenaan, dia didakwa mengikut Peraturan 18A(1) Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 iaitu kesalahan di bawah Peraturan 18A(15) peraturan sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.
Jika sabit kesalahan, Fatin Amiera boleh dikenakan denda maksimum RM25,000 dan RM50,000 bagi kesalahan seterusnya.
Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Selangor, Mohd Syahnizam Mohd Kassim.
Fatin Amiera yang tidak diwakili peguam memohon denda minimum dan mengakui kesilapannya.
"Saya memang dah tak jual produk itu lagi dan ketika serbuan dibuat semua produk itu berada dalam kotak.
"Sebenarnya semua produk itu didaftarkan dengan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), namun selepas tamat tarikh luput saya tidak memperbaharuinya. Memang silap saya simpan semua produk itu dalam stor," katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau sebulan penjara jika gagal membayar denda bagi pertuduhan pertama, RM3,500 atau penjara dua bulan (kedua), RM1,500 atau penjara sebulan (ketiga), RM3,000 atau penjara dua bulan (keempat) dan RM1,500 atau penjara sebulan (kelima).
Fatin Amiera bagaimanapun membayar kesemua denda berkenaan.
Sumber & Foto: Harian Metro