Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Mengaku Bersalah Pecahkan Botol Arak, Jamal Yunos Didenda RM400

Rozaimi Zubaidi
11/07/2018 05:46 MYT
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos didenda RM400 oleh Majistret Shah Alam kerana mendatangkan kegusaran awam dengan memecahkan sejumlah botol arak, tahun lalu.

Majistret, Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin menjatuhkan hukuman itu selepas Jamal, 48 tahun, menukar pengakuannya kepada bersalah pada sebutan kali ketiga kes itu hari ini.

Jamal turut diperintah menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya gagal menjelaskan denda itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Amira Haziqah Zulkifli memohon denda maksimum bagi memberi pengajaran kepadanya dan umum.

Jamal mengaku bersalah atas tuduhan memecahkan sejumlah botol arak menggunakan penukul besi sehingga mendatangkan bencana, bahaya dan kegusaran awam.

Pengakuan itu dibuat ketika sebutan kes kali ketiga di hadapan Majistret.

Pihak berkuasa mengawal ketat perkarangan Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada sebutan kes melibatkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu.

Difahamkan seramai 14 pegawai dan 40 anggota polis ditempatkan bagi melancarkan prosiding kes.

Hanya petugas media yang mempunyai pas sahaja dibenarkan untuk memasuki galeri mahkamah.

Pada 25 Mei lalu, Jamal didakwa memecahkan sejumlah botol arak menggunakan penukul besi sehingga sehingga mendatangkan bencana, bahaya dan kegusaran awam.

Jamal didakwa melakukan kesalahan berkenaan di hadapan pintu pagar keluar Pos (1) Bangunan SUK Darul Ehsan jam 10.15 pagi 5 Oktober 2017.

Buruan polis terhadap Jamal berakhir dengan bantuan pihak berkuasa Indonesia yang membuat tangkapan di Jakarta Selatan pada 3 Julai lalu.

Sumber: Astro Awani
#Datuk Seri Jamal Md Yunos #Ketua Umno Bahagian Sungai Besar
;