Seorang ibu enam anak didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada Jumaat selepas mengaku bersalah atas pertuduhan cuba mencampakkan anaknya berusia setahun ke dalam longkang tahun lalu, di Ayer Keroh, Melaka.

Tertuduh, Sharifah Norain Mohd Zali, 33 tahun membuat pengakuan itu sejurus dua pertuduhan pindaan dibacakan terhadapnya, dihadapan hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai seorang yang mempunyai hak pemeliharaan seorang kanak-kanak perempuan telah menyebabkan mangsa didedahkan dengan cara yang mungkin boleh mengalami kecederaan fizikal apabila cuba mencampakkannya ke dalam longkang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, tertuduh turut didakwa telah mendedahkan mangsa sama kepada kecederaan dengan cara dia membawa mangsa bersama-sama melompat dari motosikal ke atas jalan raya.

Kesalahan itu dilakukan antara pukul 8.40 malam hingga 9.40 malam di Jalan Pandan, Taman Pandan Maju dalam daerah Melaka Tengah pada 13 Julai tahun lalu.

Justeru, wanita berkenaan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang mana sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Sebagai tambahan hukuman jika disabitkan hendaklah menyempurnakan bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik selama apa-apa tempoh dengan apa-apa syarat yang difikirkan perlu oleh mahkamah.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Goh Chin Han merayu hukuman rendah memandangkan tertuduh mengalami kemurungan ketika kejadian kerana tidak mempunyai pekerjaan pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal bagaimanapun dalam hujahannya berkata, tertuduh tidak sepatutnya mengambil jalan mudah dengan menjadikan kemurungan sebagai alasan.

Tertuduh juga sudah mempunyai pengalaman menjaga lima anaknya yang lain apatah lagi mangsa baru berusia kurang dua tahun ketika kejadian.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Mohd Sabri pada penghakimannya kemudian menetapkan hukuman denda RM6,000 bagi setiap pertuduhan atau tiga tahun penjara jika gagal bayar.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan bon berkelakuan baik sebanyak RM5,000 tanpa cagaran selama dua tahun. - AWANI