Selebriti popular, Sharifah Shahira atau Shiera mendedahkan dia telah digertak oleh seorang pengikutnya yang meminta dia mengaku sebagai pemilik akaun Instagram @makcik_puaka.

Menurut Shiera, kejadian itu berlaku sejurus tersebarnya laporan media yang mendakwa dia adalah 'makcik puaka' yang sebenar.

"Ada seorang pengikut yang saya tak kenal siapa tiba-tiba mesej melalui Instagram (IG) menyuruh saya mengaku.

"Dia kata dia tak sangka yang saya ni Makcik Puaka. Lepas tu tak pasal-pasal dia suruh mengaku pula. Katanya mengaku je lah kau tu Makcik Puaka," katanya.

Jelasnya, dia tidak mengambil serius terhadap desakan terbabit sebaliknya berfikiran positif yang tomahan itu dibuat kerana mereka tidak mengenali dirinya yang sebenar.



"Saya buka IG ni untuk diri saya dan untuk muat naik perkara gembira saja. Perbuatan aibkan orang ini bukan saya," katanya ketika ditemui di Majlis Rakaman Raya Radio Suria FM, di Putrajaya baru- baru ini.

Terdahulu, tuduhan sebagai Makcik Puaka itu timbul apabila ada dalam kalangan warganet yang mengaitkan saluran YouTube Mak Cik Puaka dengan kandungan vlog kebanyakannya dari Shiera.

Pada masa sama Datuk Fizz Fairuz, mendedahkan pemilik IG terbabit merupakan individu dalam industri sendiri.