Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Mengaku Sedang Lalui Fasa Sukar Kerana Pandemik, Amelia Henderson Bersyukur Ada Simpanan

Maliah Surip
26/07/2021 11:50 MYT
Pelakon Amelia Henderson menjadi salah seorang pelaku seni yang ikut terkena impak pandemik COVID 19 yang sudah lebih setahun melanda negara dan seluruh dunia.

Tanpa berselindung, sama seperti kebanyakan rakyat Malaysia yang lainnya, Amelia yang mesra disapa Amy ini mengaku 'perjalanan' ekonominya turut terganggu.

"Memang keadaan kita semua susah. Saya fikir bukan sahaja industri hiburan, tetapi semua sektor dan ramai yang mengalami masalah ekonomi atau kewangan. Saya juga berasakan situasi yang sama," akui Amy kepada Gempak.

Meski demikian, Amy bersyukur kerana masih mampu meneruskan kehidupan dengan simpanan yang dilakukan sebelum ini.

"Walaupun ikut terasa kesan dari segi ekonomi, namun saya bersyukur kerana ada simpanan. Cukuplah untuk hidup," katanya.

Sama seperti yang lainnya, kata Amy kesan pandemik telah membuat dia mencuba jadi kreatif dengan tidak hanya bergantung kepada dunia seni semata mata.

"Kerjaya sebagai pelakon kena masuk set tetapi dalam keadaan sekarang tidak mengizinkan, jadi Amy kena kreatif untuk survive seperti belajar membuat e commerse," akuinya.

Namun kata Amy lagi, biar masih mempunyai simpanan dan mencuba bidang e commerse, itu tidak bermakna dia boleh menarik nafas lega. Dia berharap agar situasi segera pulih dan mereka boleh kembali bekerja seperti biasa.

"Saya tahu pandemik ini adalah satu perkara yang di luar kawalan kita. Namun saya mahu kita semua boleh kembali bekerja seperti biasa secepat mungkin," tambahnya lagi.

Dia juga tetap bersyukur kerana walaupun industri hiburan menjadi salah satu sektor yang disekat dari segi penggambaran dan urusan pekerjaan mengikut garis panduan atau SOP, dirinya masih menerima tawaran berlakon.

Terkini, Amelia akan muncul dengan drama berjudul Cik Ayu Mee Sanggul. Drama 16 episod yang menggandingkan dirinya bersama pelakon Aqasha ini akan mula ditayangkan pada 27 Julai 2021 di slot Megadrama setiap Isnin hingga Khamis pukul 10 malam, Astro Ria.

Oleh kerana sudah beberapa kali menjalani penggambaran dalam situasi pandemik, Amy memberitahu dirinya tidak lagi kekok mengamalkan SOP sepanjang berada di set.

"Projek Cik Ayu Mee Sanggul bukan yang pertama saya lakukan sewaktu COVID 19. Jadi saya sudah agak terbiasa dengan SOP yang perlu diterapkan termasuk penjagaan jarak untuk memastikan saya dan semua orang di set kekal sihat," katanya.


#Amelia Henderson #Simpanan #Pandemik #SOP #Cik Ayu Mee Sanggul
;