HIBURAN
Mengaku Suara Tak Sedap, Zarina Zainuddin Tetap Mahu Berselawat Demi Ketenangan Hati
Pelakon, Zarina Zainuddin mencuri tumpuan ramai apabila tampil berkongsi video mendendangkan Selawat Tafrijiyah di sebuah studio rakaman baru-baru ini.
Meskipun mengakui dirinya bukan penyanyi bersuara merdu, Zarina, 54, menyatakan niatnya hanya mahu menyampaikan ketenangan melalui selawat, bukan mencari pujian.
“Suara saya tak sedap tapi saya tetap nak berselawat sebab selawat Tafrijiyah ni menenangkan hati kita. Percayalah,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Namun, hantaran pelakon drama Dzikir itu turut mengundang pelbagai reaksi netizen, ada yang menyambut baik usaha murninya, namun tidak kurang juga yang mempertikai mutu vokal Zarina ketika berselawat.
“Suara tak sedap tak apa, tapi kena belajar sebutan dan makhraj huruf. Ini selawat, bukan lagu biasa.
“Dato’ Aliff Syukri dah ada geng lepas ni. Maaf ya kak, bakat akak lebih sesuai untuk berlakon,” komen beberapa netizen.
Pun begitu, majoriti warganet tampil mempertahankan Zarina, dengan menekankan bahawa keikhlasan lebih utama daripada suara yang lunak.
“Tak sedap tak penting, yang penting niat kita berselawat kerana Allah. Kak Zarina buat dapat pahala, yang kecam tu dapat apa?
“Teruskan selawat kak, ini bukan pertandingan nyanyian. Semoga jadi saham akhirat,” komen beberapa netizen.