Penampilan kemunculan semula kumpulan Winners terpaksa ditangguhkan kerana salah seorang daripada ahli kumpulan mereka Nam Taehyun mengalami masalah mental yang berterusan.

Pihak syarikat pengurusan YG Entertainment dalam sebuah kenyataan melaporkan Taehyun telah mengalami masalah mental sejak beberapa tahun lalu akibat daripada tekanan yang dialami.

Penyakit itu dilihat kembali sejak kebelakangan ini dan pihak pengurusan telah mengambil keputusan untuk menangguhkan pelancaran single terbaharu WINNER yang sepatutnya dibuat dalam masa terdekat.

"Selepas mendapatkan nasihat daripada doktor kami mendapati Taehyun masih belum bersedia untuk kembali beraksi dan mengambil keputusan untuk membiarkan dia berehat serta mendapatkan rawatan selanjutnya.

"Taehyun menghidapi masalah penyakit mental sudah lama sejak dia masih muda lagi dan ini terjadi disebabkan daripada tekanan melampau yang dihadapi oleh dia," kata wakil YG Entertainment.

Soompi melaporkan Taehyun kini berada di rumah keluarganya dan kini sedang mendapat rawatan secara berperingkat oleh doktor di hospital.

"Kami mengharapkan agar dia tabah dalam menghadapi dugaan ini dan berharap agar semua peminat dapat mendoakan kesihatannya," katanya menerusi kenyataan itu.


Teks oleh Rozaimi Zubaidi